Annemarie Theron, 31, berkata, dia menangis apabila melihat bayinya yang berusia 9 bulan itu didera dalam video rakaman CCTV yang baru saja dipasangnya sejam sebelum kejadian itu berlaku.
Theron dan suaminya, Johan, sebelum itu berasa curiga dengan pengasuh anak mereka, Nicolin Hoeses, berikutan terdapat kesan kecederaan yang misteri dialami oleh bayi mereka. Malah, mangsa juga dilihat berada dalam keadaan ketakutan bila dijaga oleh pengasuh terbabit.
Theron dan keluarganya yang tinggal di Namibia berkata, "Saya menonton rakaman video CCTV itu bersama ibu mertua, yang baru saja dipasang awal pagi sebelum kejadian itu berlaku.
"Bermacam-macam perasaan yang melanda diri ini pada ketika itu. Saya rasa dikhianati dan gagal melaksanakan tugas sebagai seorang ibu. Itu adalah satu perasaan yang paling teruk yang pernah saya rasakan dan saya tidak mahu ibu-ibu yang lain melaluinya."
Hoeses yang mempunyai empat orang anak, ditahan berikutan kes dera itu dan kini ditahan reman dan bakal didakwa cubaan membunuh mangsa.
Hoeses yang hadir ke mahkamah pada Isnin lalu tidak dibenarkan diikat jamin dan ditahan reman sehingga Oktober.
Difahamkan, Theron dan Johan mengambil Hoeses bekerja sebagai pengasuh anak mereka selepas disyorkan oleh rakan yang pernah menggunakan khidmat Hoeses untuk menjaga dua orang anaknya, dua tahun yang lalu.
"Mereka sekarang rasa sangat bersalah," kata Theron.
"Mereka selama ini tidak pernah mencurigai wanita itu selama ini, tetapi mereka kini sedang bertanya pada dua anak mereka masing-masing-masing dengan bantuan pakar terapi," katanya.
Theron juga berkata, semenjak mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu, dia sukar untuk makan dan tidur. Theron yang bekerja sebagai pengurus jualan dan tempahan di sebuah hotel di bandar Outjo, masih ingat kali pertama dia menemui kesan lebam di bawah kaki anaknya pada Julai, selain menemui kesan lebam di leher dan bahu anaknya pada bulan lalu.
"Pada awalnya saya tidak mahu menyangka yang bukan-bukan, dan saya tidak mahu menyoal pengasuh itu kerana saya tidak mempunyai bukti. Saya tidak mahu membuatkan dia marah terhadap saya dan menyebabkan anak saya menjadi mangsa kemarahannya di kemudian hari. Sukar untuk saya tinggalkan anak di bawah jagaannya setiap pagi.
"Suami saya berada di rumah selama beberapa hari pada awal bulan ini dan memaklumkan Laila kelihatan ketakutan apabila dijaga pengasuh itu.
"Satu hari, Laila terjatuh dan pengasuh memaklumkan kejadian itu kepada kami. Ada kesan lebam dan bengkak di bawah mata menyebabkan Laila menangis dan keadaannya kelihatan amat teruk pada masa itu," katanya.
Berikutan itu, pasangan berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk memasang kamera CCTV di bilik tidur mereka, di mana tempat tidur Laila diletakkan, tanpa pengetahuan pengasuh berkenaan, pada Rabu lalu.
Dalam video rakaman CCTV, kelihatan Hoeses masuk ke bilik tidur dengan mengangkat Laila di leher dan bahu. Hoeses kemudian mengemaskan katil Laila dan tanpa diduga dia terus mencampak Laila ke dalam tempat tidurnya seperti patung. Tidak beberapa lama kemudian, Hoeses kembali lagi dan mengangkat kaki mangsa keluar dari bilik tersebut.
Video itu juga merakam suara Laila menangis kesakitan/ketakutan sebaik saja pengasuh terbabit meninggalkannya seorang diri di dalam bilik.
"Saya laporkan kepada pihak berkuasa agar dia dapat dikenakan tindakan. Saya tidak mahu dia dibebaskan dan kemudian menjadikan anak-anak orang lain sebagai mangsa," katanya.
Selepas laporan polis dan aduan kepada jabatan kebajikan dibuat, pengasuh itu kemudian ditahan.
"Saya rasa sungguh marah dan dikhianati. Saya tak dapat bayangkan apa yang dia sudah lakukan pada anak saya selama ini.
"Saya sendiri tidak menjangka apa yang saya telah lihat dan hancur rasa hati melihat anak saya diperlakukan seperti itu," tambahnya.
Kini, Laila dihantar ke pusat jagaan pada waktu pagi dan disebelah petang dibawa oleh ibunya ke tempat kerja.
Jelas Theron, buat masa ini dia masih mempertimbangkan untuk mencari pengasuh yang lain, yang boleh dipercayai. Menurutnya, bukan semua pengasuh yang berkelakuan teruk seperti itu.
from The Reporter http://ift.tt/2wBGWS4
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment