Aku membesar pada zaman 90-an. Bila aku mula berkerja bergelumang dengan budak-budak di sekolah, aku nampak ada jurang perbezaan yang ketara antara budak-budak tahun 90-an dengan budak-budak yang lahir tahun 2000 ini.
Dulu zaman aku sekolah, budak walaupun terjal mana pun dia di sekolah tapi bila jumpa cikgu di luar, tegur cikgu siap salam cium tangan sebab respect pada cikgu. Tapi budak-budak sekarang nak-nak kelas budak kelas pandai, jumpa cikgu buat tak tahu saja. Kelas belakang pula buat cikgu macam tak wujud dalam kelas.
Dulu zaman aku kecil kalau mencarut, confirm mak-mak kita akan marah siap cakap "nak mak cili mulut kau?". Tapi budak-budak sekarang ini, cakap ikut suka hati dia saja. Panggil kawan bodoh, babi, sial dah jadi macam zikir buat mereka.
Dulu zaman aku sekolah nak tengok budak perempuan sekolah lepak di kedai tomyam malam-malam memang susah. Tapi sekarang ini rilek saja budak-budak perempuan belasan tahun lepak kedai makan sampai jam 12 malam.
Dulu zaman aku sekolah punyalah susah nak dapat internet. Kalau nak dapat internet, kena pergi cyber cafe bayar RM3 untuk tempoh sejam. Tetapi budak-budak zaman sekarang internet di hujung jari saja. Internet inilah antara penjahanam remaja paling utama kalau tak diguna dengan betul.
Dulu zaman aku sekolah nak buat perkara salah/jenayah/maksiat ini, kita fikir juga, fikir takut kena tangkap dengan polis, takut itu, takut ini. Tetapi budak-budak zaman sekarang ini sampai ke tahap siap buat bom molotov dan bakar sekolah sebabnya hanya kena ejek.
Dulu zaman aku sekolah nak hisap rokok kena sembunyi-sembunyi di kebun atau belukar sebab tak nak kantoi dengan mak ayah atau cikgu. Tetapi budak sekarang ini ramai yang pakai tudung rilek saja hisap syisya di kedai mamak.
Dulu zaman aku kecil-kecil, kalau tak solat atau balik lewat confirm kena sebat dengan getah paip, kena selam dalam kolah, kena cubit dengan mak ayah. Tetapi mak ayah zaman sekarang ini?
Dulu cikgu-cikgu di sekolah bukan setakat rotan, siap bagi penampar kalau tak siap kerja sekolah. Tapi kalau cikgu sekarang buat macam cikgu-cikgu zaman 80-an, 90-an confirm kena saman dah dengan mak ayah.
Persoalannya, adakah mak ayah zaman sekarang ini dah tak berapa garang atau memang trend membesarkan anak zaman sekarang memang biar anak-anak bebas keluar masuk rumah ikut suka hati mereka?
Bila berlaku masalah-masalah kes gejala sosial, cara eskapisme paling mudah ialah salahkan cikgu. Alasan paling mudah, cikgu tak pandai beri didikan sempurna kepada anak dia. Sedangkan sama ada ibu bapa itu perlu sedar diri, didikan pertama dan terbaik datangnya dari rumah.
Aku pernah berhadapan dengan pelajar yang ada masalah disiplin. Bila ditanya di rumah solat tak? Dia kata, tak. Aku suruh baca doa qunut, tak hafal. Bila tanya mak ayah solat tak di rumah? Dia kata, tak. Astaghfirullah. Nampak tak beza mak ayah kita dulu dengan mak ayah zaman sekarang? Mengucap panjang aku bila dengar situasi ini.
Aku tulis benda ini untuk diri aku dan untuk kita sama-sama muhasabah. Aku pun ada anak dan aku cukup risau dengan situasi perkembangan zaman penuh pancaroba ini. Kepada ibu bapa, mari kita kembali melengkapkan diri dengan ilmu parenting skills dan paling penting didik anak-anak kita mendekatkan diri mereka dengan agama sebab dalam agamalah adanya kejayaan.
Kalau setiap hujung minggu kita asyik bawa mereka jalan-jalan ke shopping complex, apa kata seminggu sekali cuba bawa mereka ke masjid dengar ceramah agama. Biasakan mereka dengan suasana masjid. Biasakan mereka dengan suasana solat berjemaah.
- Sekali sekala, solatlah berjemaah bersama mereka di rumah.
- Sekali sekala, ajaklah mereka berpuasa sunat Isnin dan Khamis.
- Sekali sekala, checklah buku sekolah mereka.
- Sekali sekala, berbuallah dengan mereka. Luangkan sikit masa kita bersama mereka.
Generasi Z ini adalah generasi yang mahukan perhatian daripada kita semua. So, bila ada kes bakar pusat tahfiz ini, apa kata mulai hari ini tengoklah di sekeliling kita, kalau ada remaja bermasalah, kita dekati mereka, bukan mencari kesalahan mereka tetapi bantulah mereka setakat yang kita mampu.
Kalau kita mampu buat perpustakaan atau ruang membaca, dipersilakan. Kita dekatkan remaja tadi dengan buku. Dengan sebab membacalah akan jadikan masyarakat kita berilmu. Kalau kita ada kemahiran elektronik atau tahu pasal enjin kereta/motor, ajarlah remaja tadi kemahiran tersebut agar mereka tahu nak mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Di samping itu, ia boleh mengisi poket dan membantu ekonomi remaja bermasalah tadi.
Kalau kita mampu, buatlah tuisyen free untuk mereka. Organize satu kolektif dan carilah remaja terbiar yang nak belajar. Kadang-kadang remaja bermasalah ini sebenarnya minat nak belajar tapi tersekat dek kekangan ekonomi atau masalah keluarga.
Atau, hulurlah bantuan apapun sekadar yang kita mampu. Kita semua berperanan dalam masyarakat. Tak kiralah siapapun kita. Ustaz, mufti, penulis buku, cikgu, pekerja sosial, pemain bola, pengarah filem, retis atau penyanyi smule. Sumbangkanlah apa yang kita rasa bermanfaat kepada masyarakat terutamanya golongan remaja ini.
Dan dalam masa yang sama, ibu bapa jangan cepat melenting kalau orang tegur anak kita kerana mungkin dengan teguran inilah akan menjadikan anak kita sebagai anak terbaik, dunia dan akhirat. Kita nak supaya generasi muda ini menjadi generasi yang terbaik sebab mereka adalah 'cerminan' kita. Baik kita, baiklah mereka. Baik mereka, baiklah generasi seterusnya.
Mereka juga adalah ibarat kain putih dan kitalah yang bertanggungjawab mewarnai kanvas hidup mereka. Sekarang bukan lagi zaman nafsi-nafsi. Kau kau, aku aku. Kita kena saling lengkap melengkapi agar anak-anak ini akan menjadi generasi yang terbaik untuk mewarisi apa yang kita dah warisi daripada tok nenek kita.
Kiriman: Muhammad Yusof
from The Reporter http://ift.tt/2xLLzZX
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment