Home » , » 'Mak makan dadah' - Betapa koyaknya hati ini mendengar jawapan si kecil ini

'Mak makan dadah' - Betapa koyaknya hati ini mendengar jawapan si kecil ini

shamsulazlan | 00:46 | 0 comments

Terasa sebak hati ini membaca tiga kisah yang dikongsikan oleh Pegawai Anti Dadah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ini. Bak katanya, inilah realiti dan hakikatnya betapa tenatnya masyarakat kita hari ini. Anak kecil berusia 3 tahun ini sudah mengenal apa itu dadah, sehingga berkali-kali merayu agar si ibu berhenti menjadi najis dadah. Semoga bermanfaat.

SI KAIN PUTIH... dipakaikan baju kotak-kotak, dipakaikan belang. Ibu bapakah yang memilih warnanya? Salah guru/sistem pendidikan kah yang mengarah baju itu ditukar seragam sekolah lalu menukar warna peribadi si anak? Atau salah agensi yang lemah mentadbir penguatkuasaannya? Atau nak salahkan Najib juga? Gambar di bawah ini ada ceritanya.

Tugas kami dalam pemulihan dadah ini tidak sama seperti pejabat-pejabat yang lain, apa yang disantuni saban hari tidak seperti yang dihadapi yang lain. Insan-insan yang melangkah masuk melaporkan diri bukanlah orang 'biasa' untuk perhatian yang biasa-biasa. Siapa yang kami santuni adalah realiti tenatnya masyarakat kini, yang jarang tampak di mata orang awam. Apa yang saya nak kongsi hari ini adalan tentang realiti.


KISAH GAMBAR 1

Remaja ini ditahan kerana kesan penagihan yang tidak dapat lagi dikawal. Hadir ibu dan bapa yang kami yakin dari orang yang baik-baik. Nampak di gambar, dua tangan yang sedang menggenggam erat tangan si anak. Itu adalah tangan ibu dan bapanya yang berjujuran air mata merayu dan memohon agar anak mereka berubah serta berhenti menagih dadah. Air mata ibu paling banyak tumpah di sini. Salah ibukah yang melahirkan dia?


KISAH GAMBAR 2

Lihat senyuman anak kecil ini, senyum paling naif, polos dan suci. Dia tidak mengetahui apa-apa sdgkan ibunya sedang ditahan untuk siasatan, untuk menjalani pemulihan. Bila saya soal si kecil ini, di mana ibunya, dia jawab;

"Mak makan dadah"

Allah sahaja yang tahu koyaknya hati ini mendengar jawapan si kecil ini. Seusia anak sendiri, 3 tahun, si kecil ini sudah mampu bicara 'dadah'. Kata si ibu, si kecil ini jugalah yang kerap merayu padanya dengan kata-kata;

"Mak, janganlah makan dadah lagi..." 

Lihat senyuman ini, tahukah anda anak ini baru sahaja lepas menangis sehabis hati selepas ditampar dengan kuat oleh neneknya di pipi hanya kerana membuat bising di pejabat ini. Saya bawa masuk ke bilik dan pujuk dia dengan gula-gula. Ini sahaja yang termampu nak, tenangkan jiwamu. Sambil hati menangis mengenangkan nasibmu. 

Salahkah anak inikah dilahirkan ke dunia? Baru lihat senyumannya hati mampu cair, belum lagi ditenung mata sifar dosanya. Apa andaian anda yang bakal terjadi padanya jika dia membesar dalam keadaan seperti itu, dengan ibu itu, dalam keadaan itu. Nauzubilahuminzalik. Semoga Allah melindungi dia.


KISAH GAMBAR 3

Sewaktu pameran di sebuah kampung, selesai ceramah untuk orang awam, datang si kecil ini yang usia 5 tahun, pra sekolah katanya. Datang pada saya; 

"Kak, dadah inilah yang dimakan oleh bapa saya kak. Ada di rumah," katanya sambil menunjuk gambar dadah dan jarum suntikan pada brosur pameran kami. Allah, lima tahun usianya sudah mengenal dan melihat dengan matanya sendiri. Saya bertanya jika dia terjumpat barang-barang itu, apa yang dia akan lakukan. 

"Saya akan ambil bawa bermain dengan kawan, suntik pada ikan dan tanam dalam tanah," jawabnya. 

Lemah lutut, lemah jiwa saya mendengar jawapannya itu. Inilah realiti dan hakikat anak kita, generasi kita. Kita hanya diam, menang di papan kunci. Hanya menunding jari. Salah dia, salah ibu bapa, salah guru, salah agensi, salah menteri. Tapi apa salah kita? Sebenarnya salah siapa?



from The Reporter http://ift.tt/2yltPBD
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger