Perkongsian dari Puan Lieyzha Euniece, semoga bermanfaat.
SAYA salah seorang peminat tegar menggunakan contact lens. Bermula dari tingkatan lima lagi saya dah pakai contact lens. Itu pun curi-curi pakai contact lens kepunyaan abang.
Bila dah habis sekolah, dah bekerja dan mampu membeli contact lens sendiri dari kosong kepada yang ada degree. Sebersih mana pun lens dicuci dan korang jaga, kalau gosok mata sampai tak ingat dunia, memang akan terjadi seperti apa yang saya alami. Ada orang yang mengalami dan sebaliknya.
Malam Rabu yang lalu selepas pulang dari buntal, saya terus buat aiskrim untuk makan malam. Sebelum nak mandi, saya buka lens sebab mata, hidung dan telinga saya semua gatal disebabkan resdung.
Jadi saya gosok mata dengan baju long sleeve sampai mata jadi merah dan berair. Selepas mandi, mata saya masih lagi berair sampai nak tidur pun masih sama.
Bangun pagi keesokan harinya, saya tak dapat nak buka mata sebab tahi mata memang banyak menempek di mata. Sehingga saya terpaksa mencuci mata menggunakan air suam.
Bila dah cuci, kedua-dua belah mata merah. Dah selesai mandi pun mata masih merah lagi. Bila tengok dalam cermin, dalam mata hitam ada bintik-bintik putih. Jadi saya pun Google apa penyebab ianya menjadi seperti itu.
Berdasarkan apa yang dibaca, tanda-tanda ulser mata memang sama seperti apa yang dialami oleh saya. Mata memang tak dapat dibuka, pedih, berair, tak dapat kena cahaya, sakit sampai kepala. Saya rasa saya terkena ulser mata.
Saya terus menghubungi suami dan minta dia hantar saya pergi ke klinik. Doktor kata cuma sakit mata biasa sahaja walaupun saya dah beri penjelasan yang panjang bahawa ada bintik di dalam mata hitam.
"It's just kuman makan. Tak apa, titik antibiotik dalam mata and stay away from your husband and child for a while," kata doktor.
Tetapi saya pula rasa tak patut sakit mata sampai begini sakitnya. Sebab sebelum ini juga pernah mengalaminya.
Jadi selepas dua tiga hari, masih juga sakit, berbisa dan berdenyut sampai terasa sakit di kepala. Saya menangis seperti budak kecil malam tadi sampai terpaksa menelan ubat tahan sakit. Tak dapat tahan, terus bawa ke tidur.
Pagi tadi bangun dari tidur, penglihatan sebelah mata semakin kabur seperti kabus. Ya Allah, Tuhan saja yang tahu rasa hati ini yang bimbang jika saya menjadi buta. Saya terus minta suami bawa saya pergi ke klinik pakar.
Tiba di klinik pakar, mereka meminta rujuk masalah saya di poliklinik. Maka terpaksalah pergi ke poliklinik dulu. Tunggu giliran seperti biasa sehingga nombor giliran dipanggil.
Doktor syak saya mengalami ulser mata.
"Kalau lambat, you boleh buta," kata doktor.
"Saya dah tanya doktor di klinik, dia kata sakit mata biasa sahaja. Tapi mana ada sakit mata biasa kalau dah jadi begini. Kalau tak, anak saya dah kena jangkit," jelas saya.
Muka doktor itu serius saja dan kerap bertanya sakit-sakit sekian bahagiannya di dalam mata. Saya mengesahkan apa yang disoalnya.
Lalu saya diarahkan menjalani ujian penglihatan. Ya , rupanya degree spec sudah tak jelas sangat (ingat murah nak buat spec? Apatah lagi kalau degree dah bertambah?). Sebab itulah saya beli lens saja, lebih nampak dan lebih jelas.
Jadi doktor KPJ terus beri surat untuk dirujuk ke pakar mata. Maka pergilah ke hospital dan buat pendaftaran di klinik mata. Sekali lagi disuruh buat ujian penglihatan. Sudahlah spec tak jelas, terpaksa tunggu giliran lagi.
Doktor panggil nama, pergi jumpa doktor. Doktor suruh duduk dan tengok mesin yang digunakan oleh mereka (tak tahu apa namanya). Gemuruh juga bila saya dengar doktor di situ kata, "Dah terlambat". Saya tak faham sangat apa yang mereka bincangkan.
Selepas dititis ubat mata (sakit sangat-sangat), ada nampak lebih jelas sedikit berbanding sebelum ini, kabur memanjang. Doktor beritahu mata saya sah kena ulser tetapi masih kecil dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh, lebih kurang dalam tiga hingga empat bulan. Malah katanya akan meninggalkan bekas.
"Okey doktor, tak apa. Asalkan dapat selamatkan mata," balas saya.
Maka mulalah mereka menyiasat saya, di mana beli lens, dah berapa kerap memakai lens yang dibeli secara online, berapa kali pakai lens dalam seminggu, berapa jam dalam sehari, water solution jenama apa yang digunakan untuk lens, di mana beli water solution itu. Saya jawab semua persoalan doktor.
"Nasib baik you datang awal. Kalau tidak, you akan buta sebelah mata. Nasib masih lagi menyebelahi you. Asal you rajin dan jaga you punya mata, ia akan sembuh. Jadi you jangan pakai lens dulu buat sementara waktu ini," katanya.
Tetapi dalam hati saya kata, "Gila apa nak pakai lens lagi kalau dah sakit begini?"
"Kalau you nak pakai, you beli di kedai optik ataupun dari penjual yang ada sijil atau pengiktirafan. So kita bagi ubat titik dalam mata setiap dua jam. You mesti titik," katanya.
Rabu ini doktor suruh bawa contact lens, normal saline. Gambar bulatan putih (seakan nombor 8) itu adalah tanda-tanda ulser mata, berbintik putih. Yang bulat kecil itu memang dari hari pertama dah ada. Yang bulatan besar itu baru timbul hari ini atau mungkin selepas doktor titiskan ubat mata sebab pagi tadi tak ada.
Jadi kepada pengguna tegar contact lens seperti saya atau orang lain di luar sana, walau bersih macam mana pun lens korang, kalau dah kena sekali seperti ini, jangan dibiarkan, bahaya. walaupun saya jaga lens dengan baik, cuci tangan dengan air suam sebelum pakai lens, cuci lens sampai basah lantai, air lens ditukar setiap kali pakai/buka, jangan anggap mata menjadi begini disebabkan lens semata-mata.
Ulser mata boleh juga berlaku bila ada binatang masuk ke dalam mata, yang kemudian digosok pula tak berhenti akan menyebabkan mata kita luka.
Saya rasa bersyukur sangat-sangat yang mata saya masih dapat dirawat. Kalau tak, memang sedih saya dibuatnya.
Sumber: Puan Lieyzha Euniece
from The Reporter http://ift.tt/2yKwyqm
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment