Home » , » 6 kes majikan kejam yang mengeksploitasi pekerja

6 kes majikan kejam yang mengeksploitasi pekerja

shamsulazlan | 02:36 | 0 comments

Walaupun di Malaysia masih banyak aspek yang boleh diperbaiki dari segi hubungan antara majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi, namun standard Akta Kerja 1955 yang digunapakai agak munasabah dan tidaklah ekstrem hingga melanggar hak-hak asasi manusia. Kebiasaannya kita dengar kes penindasan melibatkan kerja lebih masa, perlu lewatkan waktu rehat, perlu bekerja semasa hujung minggu atau kelewatan membayar gaji.

Tapi tahukah anda, di negara lain, banyak lagi kes eksploitasi pekerja yang lebih teruk berlaku. Kami kongsikan 6 kes eksploitasi dan penindasan pekerja yang paling teruk pernah terjadi dalam dunia:

1. Pekerja dipaksa minum air tandas

Walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekonomi di China berkembang dengan pesat, amat banyak kisah penindasan yang dilakukan oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan. Hampir 85% penduduk negara ini berasal dari kawasan luar bandar dan kebanyakan daripada mereka berpindah ke bandar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, apa yang menanti mereka hanyalah mimpi ngeri yang tidak berkesudahan. Ramai pekerja dipaksa bekerja lebih masa tanpa sebarang bayaran bahkan tidak cukup dengan itu, mereka dinafikan pula hak asasi sebagai seorang manusia.

Baru-baru ini sebuah video telah tersebar memaparkan pekerja sebuah syarikat yang dipaksa minum air tandas sebagai hukuman. Walaupun pihak berkuasa telah menangkap individu yang bertanggungjawab memaksa mereka melakukan perbuatan mengejikan itu, pengurus syarikat itu menyatakan bahawa video itu dibuat untuk memberikan motivasi kepada semua kakitangan agar bekerja dengan lebih gigih. (Sumber)

2. Penderaan secara lisan, fizikal dan mental

Negara India banyak memberikan sumbangan kepada dunia, namun ia juga dikenali kerana kerap kali melakukan eksploitasi terhadap pekerja.

Di beberapa buah kilang pakaian, kakitangan terpaksa berdepan dengan penderaan fizikal dan mental yang amat dahsyat daripada pihak atasan. Mereka sering dicemuh di khalayak ramai, terutama sekali apabila gagal memenuhi jangkaan dan permintaan pihak pengurusan.

Ramai antara mereka yang hanya menerima bayaran 1 rupee (6 sen) bagi tempoh kerja melebihi 4 jam dan tidak dibenarkan berehat langsung walaupun untuk minum air atau pergi ke tandas kerana bebanan kerja yang terlalu banyak. (Sumber)

3. Penafian hak asasi

Belarus yang terletak di Timur Eropah dikenali dan mendapat liputan antarabangsa kerana mengambil buruh paksa untuk bekerja tanpa bayaran. Bukan sahaja pekerja-pekerja ini tidak menerima sebarang upah, malah mereka juga tidak dibenarkan membuat bantahan untuk persekitaran kerja yang lebih baik.

Pekerja dinafikan hak kesatuan sekerja dan sangat ditindas oleh pihak kerajaan. Peraturan dan dasar buruh di negara itu hanya menawarkan kontrak sementara kepada pekerja, sekali gus melucutkan hak mereka untuk mendapatkan pendapatan stabil untuk tempoh jangka panjang. (Sumber)

4. Memakai lampin pakai buang

Beberapa ladang pengeluar ayam di Amerika Syarikat telah didapati bersalah kerana tidak membenarkan kakitangan mengambil waktu rehat ketika bekerja. Apabila mana-mana pekerja memohon untuk berehat sebentar, mereka dikecam di hadapan pekerja lain dan akhirnya terpaksa memakai lampin pakai buang dewasa.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Oxfam America, pekerja mendakwa mereka tidak dibenarkan minum dan terpaksa menahan sakit dan ketidakselesaan sewaktu bekerja. Mereka bimbang akan kehilangan mata pencarian namun pada masa yang sama mereka juga risau dengan tahap kesihatan diri. Pekerja wanita dilaporkan lebih terseksa terutama sekali apabila sedang datang haid ataupun mengandung. (Sumber)

5. Mata pekerja dikorek

Pada tahun 2003, sebuah kilang pakaian sukan yang dipunyai oleh seorang lelaki Korea bernama Lee Kil-Soo didapati bersalah kerana menyeksa pekerja secara fizikal.

Majikan yang menggaji seramai 250 pekerja asing dari Vietnam dan China itu sering memukul dan membiarkan pekerja kelaparan kononnya supaya mereka bekerja dengan lebih efisien. Kesemua pekerja itu dibayar gaji sebanyak $200 sebulan dan dipaksa tinggal berhimpit-himpit di dalam sebuah bilik yang hanya menempatkan 36 buah katil.

Apabila mereka cuba mogok atau membantah kerana dilayan dengan teruk, pihak pengurusan akan mematikan bekalan elektrik agar hidup mereka lebih terseksa.

Salah seorang kakitangan wanita bernama Quyen Truong pernah diheret di hadapan pekerja lain. Matanya kemudian dikorek menggunakan paip plastik sebagai hukuman dan pengajaran kepada mereka yang tidak melakukan kerja dengan betul.

Kilang yang beroperasi di Amerika dan menghasilkan pakaian bagi gedung Sears dan J.C. Penney itu akhirnya ditutup. Lee Kil-Soo dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun atas kesalahan jenayah persekutuan termasuklah perhambaan, peras ugut dan pelaburan wang haram. Selain itu, usahawan Korea Selatan itu perlu membayar pampasan ganti rugi berjumlah $1.8 juta kepada kesemua pekerja. (Sumber)

6. Penjawat awam bekerja sambil memakai topi keledar

Para penjawat awam yang bertugas di pejabat kerajaan di Bihar, India perlu memakai topi keledar semasa bekerja kerana bangunan yang diduduki berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan sehingga dikhuatiri boleh roboh pada bila-bila masa sahaja. Siling bangunan itu juga penuh dengan kebocoran dan tidak pernah dibaiki selama beberapa tahun.

Pelawat yang datang ke pejabat itu juga perlu memakai topi keselamatan. Secara umumnya, ini sudahpun menunjukkan betapa culasnya pihak kerajaan India dalam memastikan keselamatan nyawa rakyat di sana. (Sumber)

Bagaimana pula dengan anda. Adakah anda pernah berpengalaman ditindas majikan?

The post 6 kes majikan kejam yang mengeksploitasi pekerja appeared first on The Coverage Edisi BM.



from The Coverage Edisi BM http://ift.tt/2g1K7I7
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger