Seorang wanita dilaporkan hilang selepas keluar bekerja di sebuah pasar raya dan suaminya kini buntu dan meminta orang ramai membantunya mencari wanita berkenaan.
Mohd Saiful Nizam Hasan, 38, berkata, dia menghantar isterinya, Suhaily Mohd Isa, 34, ke tempat kerjanya pada jam 11 pagi di mana hari kejadian itu merupakan hari pertama isterinya bekerja di pasar raya tersebut.
Bagaimanapun pada jam 6 petang, dia mendapati isteirnya tidak muncul sehingga jam 8 malam ketika dia datang menjemput wanita itu.
Mohd Saiful kemudian bertanya kepada pihak pengurusan pasar raya, tetapi dia dimaklumkan isterinya tidak bekerja di situ. Malah, tiada rekod yang mengatakan isterinya bekerja dengan pasar raya tersebut.
Tidak berputus asa, Mohd Saiful cuba mencari isterinya di sekitar kawasan premis itu sebelum menghubungi saudara, rakan, keluarga dan ibu bapa mentuanya untuk bertanya mengenai keberadaan Suhaily.
Malangnya, semua yang dihubungi itu tidak mengetahui di mana Suhaily berada dan Mohd Saiful terpaksa membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya pada jam 9 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.
"Saya risau dengan keselamatan isteri saya, bimbang berlaku perkara yang tidak diingini. Telefon bimbitnya ditutup sehingga kini," katanya.
Pada masa ini, dia perlu menjaga dan menguruskan tiga anaknya yang berusia 11, 8 dan 5 tahun. Anak bongsunya pula kerap bertanya di mana ibu dan bila akan pulang ke rumah.
Mohd Saiful berkata, dia dan isterinya tidak mempunyai sebarang masalah rumah tangga. Kini dia amat berharap orang ramai membantu mencari isterinya dan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau menghubunginya sendiri di talian 017-3246352 sekiranya mempunyai maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan.
Sumber: Berita Harian
from The Reporter https://ift.tt/0rIcxBi
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment