Kebelakangan ini, sudah timbul desas desus menyatakan Plihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal dilaksanakan beberapa bulan lagi. Pelbagai persepsi rakyat dapat dilihat dalam menentukan calon pilihan mereka.
Namun begitu, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil sokongan semua pihak termasuk pembangkang. Oleh yang demikian juga, ujar beliau tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan.
"Kerajaan ini boleh mendapat dua pertiga sokongan (melibatkan) kepentingan rakyat, buktinya kita telah pinda perlembagaan dan akan ada lagi mungkin pindaan perlembagaan yang dibuat secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, Perdana Menteri mahu terus melaksanakan lebih banyak agenda melibatkan kepentingan rakyat.
Namun begitu, gambaran sebaliknya pula diberikan sehinggakan kerajaan diminta untuk melakukan pembubaran parlimen dan seterusnya melaksanakan pilhan raya.
"Ini adalah sebuah kerajaan yang stabil, jangan bercakap soal parti, saya bercakap ini soal kerajaan jadi kerajaan ini boleh terus kekal, cukup sokongan, ada dua pertiga dan jangan lupa kerajaan ini turut ditadbir berasaskan MoU (memorandum persefahaman) tentang kestabilan dan transformasi yang telah ditandatangani di antara kerajaan dengan PH (Pakatan Harapan),” katanya.
Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, selain disokong oleh PH, ada beberapa parti di luar pakatan tersebut juga telah menyatakan sokongan terhadap kerajaan.
"Berkenaan MoU kerajaan dan pembangkang, hendaklah difahami dalam MoU itu telah jelas menyebut secara hitam putih bahawasanya MoU itu berkuat kuasa daripada tarikh tandatangan sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.
"Di luar sana masih banyak yang tak faham, kata perbaharui, kata nak buat MoU 2.0, kata jangan buat dan sebagainya yang sebenarnya tidak berbangkit.
"Persefahaman antara kerajaan dan PH selagi mana kedua-dua pihak tidak mengubah pendirian yang tertulis dalam MoU maka kandungan dalam MoU itu akan terus berkuat kuasa dan mengikat kedua-dua pihak kerajaan dan PH,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan pimpinan Perdana Menteri perlu tunduk dengan desakan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan, Annuar berkata, pilihan raya umum sebelum ini bukan dibuat berdasarkan desakan.
“Kabinet kena buat keputusan, kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, kabinet serta Perdana Menteri cuma boleh menasihatkan namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.
"Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah baginda sebut kurangkan ‘politiking.
"Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/mNMK8Lr
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment