Selasa lalu, Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura telah mengumumkan akan mengambil tindakan kepada pelanggan yang gagal memulangkan semula dulang dan pinggan ke tempat yang disediakan ketika mengunjungi pusat penjaja, kedai kopi dan medan selera berkuatkuasa pada 1 Jun.
Amaran yang diumumkan itu secara jelas mahu rakyat dan pengunjung tempat makan awam di republik itu agar lebih bertanggungjawab, lapor Channel NewsAsia. Selain itu juga, dapat memastikan pengunjung dapat sama-sama menjaga tahap kebersihan.
Pada masa ini, pegawai-pegawai penguat kuasa dari NEA dan Agensi Makanan Singapura (SFA) hanya akan mengingatkan pelanggan yang terlupa membersihkan meja mereka.
Mereka yang tidak mengikut peraturan dan merupakan pesalah kali pertama akan diberikan amaran bertulis. Bagi kesalahan kali kedua, mereka akan dikenakan denda sebanyak S$300 (RM995), sementara bagi kesalahan berulang akan berdepan denda di mahkamah.
Peraturan itu sudah berkuat kuasa sejak 1 September 2021 bagi pust penjaja dan 1 Januari 2022 bagi kedai kopi dan medan selera.
Namun begitu, pada Selasa, NEA berkata bahawa bermula 1 Jun, pelanggan yang melanggar peraturan di semua tempat makan awam akan terus diminta menyerahkan butiran diri masing-masing.
Pesalah kali pertama akan terus dikenakan amaran, dan bukan lagi dinasihati, sementara pesalah berulang akan dikenakan denda atau didakwa di mahkamah.
NEA dan SFA kini meningkatkan penguatkuasaan "untuk memastikan tabiat baik diamalkan, dan bertindak ke atas pelanggan minoriti yang kerap gagal membersihkan dulang dan pinggan mangkuk mereka".
Langkah itu untuk memastikan amalan baik oleh 90 peratus pelanggan tempat makan yang patuh memulangkan dulang dan peralatan makan, tidak tercemar dengan kelakuan kurang prihatin oleh golongan minoriti, kata NEA.
Agensi-agensi itu berkata, mereka bagaimanapun akan meneruskan pendekatan pragmatik dan akan mengelakkan tindakan penguatkuasaan ke atas golongan kurang upaya, warga tua yang uzur dan kanak-kanak yang secara jelas tidak mampu membersihkan meja mereka.
Sumber: Astro Awani
from The Reporter https://ift.tt/wrogEXz
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment