Seorang lelaki Thailand menikam isterinya sehingga mati di wilayah Lopburi, sebelum cuba membunuh diri dengan memandu trak Chevrolet miliknya ke dalam Sungai Chao Phraya. Namun, suspek berjaya diselamatkan oleh salah seorang saudaranya yang kebetulan memancing di tebing sungai berkenaan.
Polis dari Balai Polis Ban Kum kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu, lalu bergegas ke lokasi kejadian.
Tiba di lokasi, polis menemui mayat mangsa berusia 30 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di atas katil, tingkat dua. Polis turut menemui 21 kesan tikaman pada badan mangsa dan sebilah pisau yang digunakan turut ditemui di tangga.
Adik mangsa, Achariya Phakhai, 18, berkata, dia yang berada dalam bilik air ketika itu terdengar kakaknya, Yuwadee, menjerit beberapa kali dalam kejadian jam 8 pagi sebelum keadaan kembali sepi.
Achariya kemudian keluar dan melihat suspek, Anupong Saengngaongam, 30, sedang berlari menuruni tangga sebelum meninggalkan kediaman mereka dengan menaiki trak Chevrolet merah miliknya.
Polis kemudian menghubungi rakan setugas di Daerah Bang Sai untuk meminta mereka menjejaki trak suspek. Polis kemudian menemui trak suspek terjunam ke dalam sungai dan suspek sempat diselamatkan sebelum keretanya karam sepenuhnya.
Suspek ditahan dan mengaku membunuh mangsa sebelum cuba membunuh diri. Namun, suspek meluahkan rasa lega kerana dia tidak perlu mati setelah mengakui perbuatannya.
Sementara itu, ibu mangsa, Sunanta Phakhai berkata, menantunya bekerja di kilang simen dan anaknya pula adalah guru. Mereka telah menjalinkan hubungan sejak dari sekolah menengah dan baru mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.
Sejak kebelakangan ini, pasangan itu selalu bertengkar kerana sikap cemburu suspek yang tidak terkawal. Sunanta juga tidak dapat menerima kejadian yang menimpa anak perempuannya itu.
Sumber: Thaiger
from The Reporter https://ift.tt/nF0AdsY
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment