Home » , » 'Mereka rapat semenjak tertuduh kematian isteri' - Warga emas cabul remaja 15 tahun dipenjara 10 tahun, 1 sebatan

'Mereka rapat semenjak tertuduh kematian isteri' - Warga emas cabul remaja 15 tahun dipenjara 10 tahun, 1 sebatan

shamsulazlan | 19:22 | 0 comments



Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan terhadap seorang warga emas yang mengalami masalah pendengaran kronik kerana melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap remaja bawah umur. 


Tertuduh, Rosmi Hassan, 72, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun dengan meraba bahagian sulitnya.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. 


Mengikut pertuduhan, Rosmi melakukan perbuatan keji itu antara jam 10 pagi hingga 3 petang 29 Ogos 2022 dalam sebuah kereta Perodua Viva di Melaka Tengah. 


Menurut mangsa, mereka berkawan rapat semenjak tertuduh kematian isterinya dua tahun lalu. 


Pada hari kejadian, pengadu terserempak dengan adiknya yang sedang menaiki kereta bersama tertuduh dan apabila dia cuba mendekati kereta itu, tertuduh bertindak melanggarnya sebelum melarikan diri. 


Tidak beberapa lama kemudian, tertuduh ditahan dan mangsa memaklumkan kepada pengadu bahawa tertuduh ada meraba badannya serta melakukan hubungan seks. 


Warga emas terbabit juga berdepan dengan pertuduhan kedua iaitu kesalahan merogol mangsa sama di sebuah rumah di Melaka Tengah, jam 3.30 petang pada pertengahan Ogos lalu. Namun, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. 


Untuk pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat. 


Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan sudah berusia lebih 70 tahun, selain mempunyai dua anak.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan satu sebatan, serta kaunseling pemulihan di penjara bagi kesalahan amang seksual fizikal. 


Bagi pertuduhan merogol, mahkamah menetapkan 28 September untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. 


Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga didakwa mencederakan abang mangsa dan bagi kesalahan itu, Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman denda RM1,800 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Utusan Online, Free Malaysia Today



from The Reporter https://ift.tt/Ve45kLW
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger