Foto sekadar hiasan |
Kira-kira 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia masih belum mampu memiliki rumah sendiri ekoran gaji minimum sektor itu tidak relevan ketika ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.
Beliau berkata gaji minimum sedia ada menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan dan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya justeru penetapan gaji minimum baharu iaitu RM1,800 penting bagi memastikan penjawat awam bukan sahaja dapat memiliki rumah sendiri malah mampu menyediakan perbelanjaan pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta makan dan minum untuk keluarga.
"Unjuran gaji kita menyebabkan penjawat awam tidak layak untuk membeli rumah terutamanya di bandar-bandar besar manakala bagi mereka yang layak pula, rumah yang mereka beli ada yang terbengkalai lebih berpuluh-puluh tahun dan ada yang tinggal di bandar besar hanya mampu menyewa bilik.
"Gaji minimum kami ketika ini bagi lantikan pertama dicampur dengan imbuhan tetap, khidmat awam, imbuhan tetap perumahan dan elaun cola (sara hidup), maknanya baharu menghampiri RM1,900... jauh di bawah pendapatan garis kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Negeri Melaka Sesi 2022-2025 di sini semalam.
Persidangan itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Melaka Norman Taib.
Adnan juga berkata walaupun terdapat Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) namun jumlah unit yang layak dibeli berdasarkan gaji minimum sedia ada masih tidak mencukupi kerana kebanyakan harga rumah itu adalah di luar kemampuan penjawat awam.
Beliau berkata selain itu, isu rumah terbengkalai dalam tempoh yang lama khususnya di Kelantan dan Sarawak menyebabkan penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bulanan bagi membiayai pinjaman perumahan serta sewa rumah.
"Ketika ini Cuepacs mendapat banyak aduan pinjaman diluluskan dan dibayar sepenuhnya oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada pemaju tetapi rumah tidak siap rumah dan tidak boleh diduduki... lebih teruk daripada itu, rumah berkenaan hanya ada tiang sahaja tetapi gaji penjawat awam dipotong setiap bulan.
"Justeru kita memohon moratorium daripada LPPSA supaya penjawat awam tidak dibebani dengan pembiayaan pinjaman perumahan dan sewa rumah," katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/D3n1bko
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment