Menurut ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan oleh tiga lelaki yang tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.
Terdahulu, tiga suspek berkenaan datang ke rumah mangsa. Salah seorang suspek memberi salam dan mengetuk pintu rumah, lalu dibuka oleh mangsa.
Suspek kemudian bertanya mengenai namanya. Sebaik saja mangsa mengiyakan soalan itu, dia terus diheret keluar dan dimasukkan ke dalam kereta tersebut.
Tiga suspek terbabit turut menunjukkan pistol masing-masing sebagai ugutan kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang ketika itu berada di dalam rumah.
"Bapa mangsa yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta, cuba untuk menyelamatkannya. Namun seorang daripada lelaki itu mengacukan sebilah pisau rambo menyebabkan warga emas itu berundur dan hanya melihat mangsa dilarikan," katanya.
Keluarga mangsa kemudian mendapat maklumat bahawa Rosnazirah telah dibawa ke arah Pengkalan Kubor, kawasan sempadan negara. Suaminya yang mengetahui kejadian itu terus bergegas ke lokasi, namun tidak berjaya menemui isterinya.
Menurut seorang penduduk setempat, dia mendakwa ternampak seorang wanita dibawa oleh sekumpulan lelaki menaiki bot menuju ke negara jiran. Kenderaan yang digunakan suspek turut ditemui di sebuah pangkalan haram di situ.
Suami mangsa juga berusaha mencari isterinya di negara jiran dan sehingga kini masih belum pulang.
Ahli keluarga menjelaskan Rosnazirah tidak bermusuhan dengan sesiapa. Sehingga ke waktu ini, mereka juga tidak menerima sebarang panggilan dari mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan.
"Tapi tidak pastilah jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik.
"Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini dan pada masa sama kami turut membuat solat hajat selain berdoa agar Azi segera ditemukan dengan selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
Turut tular di media sosial, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 51 saat yang menunjukkan mangsa dilarikan sekumpulan suspek terbabit.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/0sTuvFQ
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment