Seorang ibu angkat berasal dari Rusia, dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana telah memaksa anak yatim piatu berlapar sehingga nampak tulang agar dia dapat menuntut bantuan kebajikan yang layak dituntut oleh mangsa berjumlah RM270,569.
Tertuduh, Lyubov Korotkova terdahulu menangis ketika dibawa keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara.
Lyubov didakwa telah melakukan perbuatan kejam itu terhadap mangsa sejak lapan tahun lalu dan memperdayakan doktor kononnya mangsa mempunyai penyakit yang jarang dihidapi manusia.
Dia membuat tuntutan palsu sebanyak RM270,569 bagi tempoh tujuh tahun dan mangsa, Valery Kondourov, 11, tidak ubah seperti mayat hidup.
Sebelum perbuatannya itu terbongkar, Lyubov, berusia lingkungan 40-an itu dianggap sebagai hero oleh penduduk setempat kerna sanggup menjaga 'anak istimewa' itu.
Namun, Lyubov sebenarnya memaksa mangsa menurunkan berat badan dengan tidak memberikannya makan, selain memberi mangsa menghisap dadah agar dia dijangkiti penyakit yang serius.
Akibat kekurangan zat makanan, berat badan mangsa menyamai berat badan kanak-kanak berusia 4 tahun. Ketinggiannya pula hanya tiga kaki lima inci, sama seperti kanak-kanak berusia lima tahun.
Mangsa kini ditempatkan bersama ibu angkat baharunya dan dalam proses pemulihan.
"Selama lapan tahun dia tidak memberi anaknya makan agar dia dapat mendaftarkan anaknya sebagai orang cacat dan menerima bantuan dari pihak kebajikan.
"Selama bertahun-tahun, wanita itu juga telah membawa mangsa bertemu dengan ramai doktor dan meminta mereka memeriksa keadaan mangsa yang didakwanya menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser. Tetapi, doktor tidak dapat menentukan diagnosis yang betul," kata Svetlana Petrenko, pegawai dari Jawatankuasa Pemeriksa Persekutuan Rusia.
Bagaimanapun, perbuatan suspek mula dibongkar oleh seorang doktor yang berasa curiga selepas menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa. Pemeriksaan doktor terbabit mendapati kanak-kanak itu sebenarnya sihat tetapi telah dianiaya oleh ibu angkatnya.
Mahkamah diberitahu, tertuduh telah merancang untuk berbuat demikian tanpa pengetahuan suaminya, Andrei, yang turut membantu menjaga mangsa. Mangsa juga tidak dibenarkan bersekolah di luar, sebalik hanya belajar dari rumah sahaja.
Siasatan mendapati, tertuduh berjaya mendaftarkan anaknya sebagai orang cacat dan dia mula menerima pelbagai bantuan kebajikan, pampasan dan beberapa lagi elaun yang lain.
Lyubov pada awalnya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan itu, tetapi setelah mendapat bukti yang mencukupi, mahkamah memutuskan Lyubov bersalah bukan sahaja menganiaya dan mendera mangsa, tetapi gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu angkat dan berbuat demikian kerana mahukan duit bantuan kebajikan.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/2FkVsA2
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment