Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli semalam mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahu menangani amalan rasuah dalam badan sukan untuk memastikan atlet dapat meningkatkan potensi sebenar mereka.
"Kita ada ramai atlet bertaraf dunia yang berjaya bawa emas untuk negara di kejohanan antarabangsa. Tetapi selalunya bila kita meneliti secara mendalam, ia berkaitan isu korupsi, jadi kita perlu menguruskan isu ini," katanya yang tidak mengulas lanjut mengenai isu rasuah dalam badan suka negara.
Kenyataan pertama Adam Adli selepas dilantik menjawat jawatan itu dilihat mengundang rasa kurang senang Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menuntut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menjustifikasikan dakwaan tersebut.
Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, Adam tidak wajar berkata demikian, malah tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.
"MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti. Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada," katanya.
Turut senada dengan Presiden MOM adalah, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt yang menganggap kenyataan Adam Adli bersifat populis.
Sementara itu di media sosial, netizen hairan dengan sikap MOM yang dianggap 'melatah tak bertempat', sedangkan kenyataan Adam Adli itu adalah secara umum tanpa menyebut mana-mana badan sukan yang dimaksudkan.
"Dia cuma ingatkan, bukan sebut nama dan tuju kepada sesiapa pun. Yang nak terasa dan kecewa kenapa? Siapa makan cili, dia terasa pedas," kata Ryan.
"Ala, ini semua sebab Adam Adli itu muda dari awak kan? Tak boleh terima la dia cakap macam tu. Biasalah orang tua Melayu mana boleh terima apa orang muda cakap. Padahal dia cakap secara umum je. Boleh je awak kata, sambut baik usaha itu. nanti sama-sama kita banteras," kata Albaniah.
Sumber: MalaysiaKini, Astro Awani
from The Reporter https://ift.tt/DlmMz7r
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment