Persekitaran yang selesa, tenang dan selamat sangat sesuai untuk kanak-kanak. Ini membolehkan kanak-kanak bergerak aktif tanpa gangguan dan juga keselamatannya juga terjamin. Sebagai ibu bapa, seharusnya menitikberatkan kepentingan persekitaran tersebut.
Perkongsian doktor ini juga mengingatkan kita tentang keselamatan yang perlu dicakna oleh ibu bapa. Kisah seorang kanak-kanak yang terkena gam tiga saat membuatkan hati ibunya luluh. Insiden yang tidak disangka itu membuatkan kanak-kanak tersebut perlu menjalani pembedahan.
PADA satu malam hari minggu, menerima panggilan dari jabatan kecemasan. Seorang budak 2 tahun terkena gam 3 saat (yang banyak jual dekat Mt.DIY tu). Habis satu muka kena katanya, mata tak boleh bukak langsung. Hmmm… pertama kali ni dapat kes macam ni. Lantas pesakit diarahkan datang ke wad mata untuk diperiksa.
Sejarah pesakit diambil dari ibunya. Ketika si ibu melakukan kerja di rumah, si ibu memanjat kerusi untuk memasang hiasan pada rumahnya. Anaknya girang bermain di kerusi ibunya, memegang kerusi tak nak ibunya jatuh. Tanpa sedar gam 3 saat yang dipegang ibu tertumpah ke bawah dan terkena pada seluruh muka anaknya. Allahuakbar, pantas ibu membasuh muka anaknya dan dibawa terus ke hospital. Namun gam 3 saat memang susah nak hilang, terkena kulit tangan kita pun ia cepat mengeras dan sangat sukar dicuci, apatah lagi kena pada kulit muka dan mata.
Ketika melakukan pemeriksaan, matanya cuba dibuka, bulu mata semua dipotong kerana semuanya melekat antara satu sama lain. Namun kekuatan gam itu benar-benar terbukti, tiada hasil. Kedua-dua belah kelopak mata melekat atas dan bawah. Usaha diteruskan dengan meletakkan gel petroleum khas untuk mata, kami berikan masa untuk ibu sapukan sepanjang malam dan tengok semula esok berkesan atau tidak.
Antara tips hilangkan kesan gam ini pada kulit ialah dengan basuhan air suam + sabun atau gunakan gel petroleum (seperti Vaseline). Tapi sebab dekat mata, kami gunakan yang khas dibuat untuk mata supaya tidak pedih jika termasuk dalam mata.
Keesokannya, si ibu datang dengan wajah muram. Mata anaknya masih tidak terbuka. Gam pada pipi dan muka nampak menipis dan tertanggal, namun pada matanya sama sahaja. Perkara ini tidak boleh dibiarkan lama, kerana kanak-kanak jika dibiarkan kedua-dua mata tertutup pada tempoh yang lama, ia boleh menjadi punca kepada mata malas, mengakibatkan penglihatan yang kurang sempurna seumur hidupnya.
Keputusan dibuat untuk melakukan pembedahan secara bius penuh, keluarga setuju. Alhamdulillah, dalam dewan bedah lebih mudah untuk buang gam pada matanya, kerana pesakit sudah tidak meronta-ronta. Ada kecederaan pada dalam mata juga kerana gam tersebut masuk ke dalam matanya, tak sempat anak itu nak tutup mata sebab tiba-tiba tertumpah atas mukanya. Alhamdulillah pesakit semakin sembuh.
Sebagai peringatan bersama, perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, malang tidak berbau. Sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja dengan gam gajah/gam 3 saat (superglue) terutama apabila ada kanak-kanak di sekeliling.
Sumber: Sayed Abdul Zulfadhli Al-qadrey
from The Reporter https://ift.tt/KD9R3Hi
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment