Seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan penunggang motosikal lain dalam kejadian yang berlaku di Kampung Lumpur, Pasir Mas, jam 7 malam Jumaat, 18 Februari 2022.
Bayi mangsa yang terkeluar dari kandungan dan sempat dikejarkan ke Hospital Pasir Mas (HPM), namun disahkan meninggal dunia.
Mangsa berusia 25 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang lelaki berumur 18 tahun juga meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan HPM, kira-kira jam 10 malam.
Menurut saksi yang dikenali sebagai Wan berkata, dia sempat melihat kedua-dua motosikal itu bertembung dan juga melihat bayi dalam kandungan ibu hamil itu terkeluar. Manakala remaja itu (Muhamad Shakim Muhamad Zaki) pula terpelanting ke bahu jalan.
"Wanita berkenaan menunggang motosikal sambil membonceng seorang lagi kanak-kanak dipercayai anaknya. Orang ramai yang melalui jalan itu cuba membantu dan menghubungi ambulans serta pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Sementara itu suaminya, Mohd Khairi Hasbullah, 31, berkata isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, meninggal di depan matanya.
"Isteri meninggal di depan mata saya kerana motosikal ditunggangnya hanya berjarak lima meter di belakang motosikal saya ketika kejadian berlaku.
"Saya segera berlari mendapatkan isteri yang sudah tidak sedarkan diri, manakala sempat meriba bayi serta anak kedua kami berusia enam tahun yang membonceng motosikal bersama ibunya.
"Kami sebenarnya menunggang dua motosikal beriringan yang mana isteri sarat mengandung membonceng seorang anak daripada tiga cahaya mata kami, manakala dua lagi bersama dengan saya untuk pergi ke kedai runcit berhampiran.
"Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang remaja lelaki berkenaan terbabas dan memasuki laluan kami. Dia hampir berlanggar dengan motosikal saya, tetapi saya sempat mengelak.
"Tidak sangka dia kemudian bertembung dengan motosikal isteri yang berada di belakang saya pada ketika itu," katanya.
Menurut Mohd Khairi, dia sudah beberapa kali menegah isterinya menunggang motosikal sendiri kerana keadaannya yang sarat mengandung. Tetapi pada petang hari kejadian, Nur Hasliza bersungguh-sungguh meminta kebenaran daripadanya.
Nur Hasliza dijangka bersalin anak keempat pada 24 Februari ini. Mohd Khairi reda dengan kejadian itu dan dia akan merindui kebaikan isterinya tetapi perlu kuatkan diri demi anak-anak mereka.
Anak keduanya yang membonceng bersama arwah isterinya juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.
Bayi yang terkeluar dari kandungan mangsa juga disahkan telah meninggal dunia, setelah beberapa jam bertarung nyawa.
"Saya sempat mengazankan bayi lelaki saya sebelum dia 'pergi' bersama ibunya sekitar jam 12 tengah malam tadi. Saya hanya mampu menangis apabila dipanggil doktor yang memberitahu anak saya tidak dapat diselamatkan. Saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Jenazah Nur Hasliza dan bayinya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bonggol Stol selepas selesai urusan bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir mengesahkan kejadian itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/faVSbJo
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment