Home » , » Guru wajar diberi keutamaan dalam pemberian vaksin Covid-19

Guru wajar diberi keutamaan dalam pemberian vaksin Covid-19

shamsulazlan | 22:24 | 0 comments


Warga pendidik juga wajar diberi keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19, memandangkan golongan ini adalah individu yang paling banyak menghabiskan masa bersama anak murid apabila sekolah dibuka kelak.


Pakar Pendidikan dan Pengembangan Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, pengumuman sebelum ini bahawa kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah tidak akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 buat masa ini, kerana buat permulaan barisan hadapan dan warga emas akan diberi keutamaan dikhuatiri akan merisikokan mereka.


“Jadi, kita hendak memastikan yang anak-anak ini terpelihara daripada wabak itu. Oleh itu, warga pendidik ini perlu diberikan pertahanan diri.


“Tambahan pula, guru dan anak murid akan menghabiskan masa yang agak lama dalam sesi persekolahan, jadi sewajarnya guru ini dilindungi supaya anak-anak murid yang akan bersama mereka berasa selamat,” katanya kepada Bernama.


Pun begitu tegasnya, mereka (guru dan murid) perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan, serta elakkan berhimpun sebagai usaha memerangi pandemik itu.


“Saya suka mengingatkan dalam keadaan apa sekali pun, SOP harus terus dipatuhi, dan tidak boleh diambil mudah walaupun sudah ada vaksin yang dikemukakan. Kita tidak mahu, hanya kerana kelalaian mematuhi SOP secara berterusan, menyebabkan tercetusnya gelombang baharu nanti,” katanya.


Secara tidak langsung, Ismi Arif yang juga Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Putra Infoport, Universiti Putra Malaysia berkata, keadaan itu sekali gus akan membuang perasaan takut ibu bapa, untuk menghantar anak mereka ke sekolah.


“... dan ibu bapa juga harus diyakinkan bahawa sekolah telah mengambil langkah-langkah awal keselamatan, sebelum anak-anak ini diberi kebenaran untuk ke sekolah,” katanya.


Pada Selasa, Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore mengesyorkan guru diutamakan untuk memperoleh vaksin COVID-19, selepas petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.


Beliau dilaporkan berkata di New York langkah itu dapat memastikan usaha untuk meneruskan pembelajaran kanak-kanak di seluruh dunia.


Turut senada, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yang berpendapat, kesiapsiagaan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya atau dalam talian 'belum cukup sempurna'.


Selain itu, katanya, guru juga lebih selesa mengadakan sesi PdP secara konvensional, iaitu dengan bersemuka bersama murid-murid.


“Terdapat pelbagai masalah dan halangan bagi sesi PdP secara dalam talian, antaranya masalah peranti, jaringan internet yang lemah, selain bukan semua murid mempunyai kemudahan yang mencukupi, terutama di kawasan luar bandar.


“Bahkan, ada juga murid yang tidak serius dalam mengikuti pembelajaran secara dalam talian, selain guru juga tidak tahu sejauh mana kefahaman anak muridnya dalam sesuatu subjek yang diajarkannya,” katanya.


Malah, Mohamad Ali juga menyifatkan warga pendidik sebagai golongan barisan hadapan, kerana mereka berjuang dalam membantu memperkasakan pendidikan negara.


“Sumbangan dan peranan mereka amat besar kerana pendidikan adalah satu sektor utama yang penting, dalam membentuk masa depan negara,” katanya.


Beliau menyarankan agar golongan pendidik terutama yang mempunyai masalah kesihatan, bekerja di luar bandar atau yang berada di kawasan sesak menjadi kriteria utama sebagai penerima vaksin ini.


Tidak ketinggalan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang berpandangan, pemberian vaksin itu akan memberi perlindungan kepada warga guru sekali gus dapat meneruskan sesi PdP dalam kadar segera.


“Kita mendapati sesi pembelajaran secara pembelajaran di rumah dalam talian mempunyai banyak kelemahan, seperti peranti atau gajet yang tidak mencukupi, kelemahan jaringan internet, masalah disiplin dan kehadiran pelajar yang menyebabkan sesi PdP secara dalam talian terganggu.


“Langkah ini bagi memastikan murid-murid tidak terus tercicir dan sesi persekolahan dapat dibuka semula,” katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, katanya, NUTP memohon pertimbangan khas daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), agar warga pendidik diutamakan untuk pemberian vaksin COVID-19 demi meningkatkan dan memperkasakan sistem pendidikan negara.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/3gT7KRz
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger