Home » , » 'Salmonella enteritis boleh menyebabkan keguguran' - Pakar nasihatkan ibu hamil elak makan telur separuh masak

'Salmonella enteritis boleh menyebabkan keguguran' - Pakar nasihatkan ibu hamil elak makan telur separuh masak

shamsulazlan | 02:33 | 0 comments

Jika berada di kedai mamak atau kedai-kedai makanan yang lain, kebiasaannya tidak sah kalau tidak mengambil pesanan telur separuh masak sebagai santapan.  Keenakan rasa telur separuh masak itu menepiskan segala makanan lain yang terhidang. 

Namun begitu, di sebalik keenakan rasa tersebut, tanpa kita sedari makanan tersebut perlu dielakkan oleh ibu-ibu hamil, kanak-kanak bawah lima tahun, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai kekebalan sistem imunisasi yang tidak kuat. Kita juga seringkali didedahkan dengan kebaikan telur separuh masak ini yang dikaitkan dengan protein dan tenaga.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Imelda Balchin menjelaskan dua sebab mengapa makanan tersebut perlu dielakkan oleh golongan-golongan ini. 

Berdasarkan penjelasannya yang dimuatnaik di dalam Facebook itu, dia juga menasihati agar sama-sama melindungi ibu hamil, anak-anak dan warga emas terutamanya sekali bila telur ayam mentah itu tidak disimpan di dalam peti sejuk.

RAMAI ibu yang hamil bertanya saya, kenapa saya nasihatkan mereka elakkan memakan telur mentah atau telur separuh masak. 

Hari ini saya nak bagi penjelasan kenapa ibu-ibu hamil, kanak-kanak bawah lima tahun, orang-orang tua dan mereka yang kekebalan immune system yang tidak kuat (penyakit HIV, diabetes yang tidak terkawal) tidak digalakkan memakan telur mentah atau telur separuh masak. Ada dua sebab mengapa makanan ini perlu dielakkan oleh golongan ini. 

PERTAMA, dari segi khasiat, telur yang dimasak sangat baik untuk kita, tapi telur yang mentah tidak boleh dihadam proteinnya dengan sepenuhnya. 

Bila kita makan telur masak, 90% protein boleh dihadam oleh usus manusia, tetapi bila kita makan telur mentah hanya 50% daripada protein telur mentah boleh dihadam. Dari segi khasiat, telur mentah itu tak elok untuk kita.

KEDUA, dari segi kuman penyakit, telur mentah ialah pembawa kuman bakteria salmonella. Bakteria ini didapati dari usus dan tahi ayam. Ia boleh masuk ke dalam telur semasa ayam bertelur dan sebelum kulit telur menjadi keras. Untuk mengelakkan pembiakan bakteria ini supaya tidak menjadi banyak, telur-telur mentah sepatutnya disimpan dalam peti sejuk, bukannya di atas rak kedai-kedai runcit. Bakteria Salmonela dihapuskan bila telur dimasak atau dipasteurkan. 

Orang dewasa yang kuat kekebalan imun mereka, boleh melawan bakteria ini, jika hanya sedikit sahaja bakteria Salmonela dimakan dengan telur mentah atau separuh mentah. Kebanyakan bakteria salmonella ini juga dihapuskan oleh acid di dalam perut. Hanya segelintir yang terlepas masuk ke dalam usus dan kemudiannya masuk ke dalam dinding usus. Di sini, bakteria yang mati akan melepaskan toksin di dalam dinding usus kita. 

Kita akan mulai rasa sakit dalam masa 6 hingga 72 jam selepas memakan telur yang mengandungi bakteria salmonella yang hidup. Toksin ini boleh menyebabkan keradangan dalam usus, sakit perut, demam, muntah-muntah dan cirit-birit selama 4 hingga 7 hari. Inilah penyakit Salmonela enteritis. 

Orang dewasa akan baik dengan sendiri tanpa rawatan sebab immune system kita akan melawan toxin. Antibiotik tidak mencepatkan kesembuhan penyakit ini sebab masalahnya ialah toksin yang dilepaskan. Sebab inilah doktor selalunya tidak memberi antibiotik untuk 'food poisoning'. Pesakit dinasihatkan minum air bersih banyak-banyak sehingga sembuh sendiri. 

Tetapi mereka yang immune system lebih lemah seperti ibu hamil (semua immune system wanita menjadi lemah semasa hamil untuk menghalang ibu melawan baka janin yang datangnya dari suami), salmonella enteritis boleh menjadi penyakit yang lebih teruk dan menyebabkan keguguran atau kematian janin. 

Jika ibu hamil mendapat salmonella enteritis, keguguran berlaku dalam 80% ibu hamil. Anak-anak kecil pula boleh mendapat sawan jika toksin sampai ke bahagian otak. Ini semua boleh dielakkan dengan memasak telur sebelum dimakan. 

Di negara barat, restoran tidak dibenarkan menjamu telur separuh masak, tapi kita di Malaysia santai saja order 'roti goyang', sebab memang sedap makan telur separuh masak. Undang-undang di negara kita tidak ketat seperti di negara barat, mungkin sebab kita belum lagi dapat Salmonela epidemic seperti di negara barat pada tahun 1970-1980-an di mana ramai kematian disebabkan Salmonela. Di Amerika masih lagi terdapat 30 kematian setahun disebabkan telur yang dicemari Salmonela. 

Jangan kata di Malaysia tak ada Salmonela. Di Malaysia, kajian ke atas ayam hidup menunjukkan yang 12 dalam 100 ayam membawa bakteria Salmonela. Kajian ke atas makanan mentah pula menunjukkan 39 dalam 100 sample daging ayam mentah mengandungi Salmonela dan 3 dalam 100 telur mengandungi kuman bakteria Salmonela. 

Kalau tak masak ayam betul-betul, boleh terjadi keracunan makanan yang teruk. Tidak ada restoran yang berani jamu ayam mentah, tidak ada siapa yang berani makan ayam separuh masak. Tetapi ramai suka makan telur separuh masak. Langkah berjaga-jaga jika hendak makan telur separuh masak ialah memastikan telur mentah itu di simpan dalam peti sejuk dan elakkan menjamu telur separuh masak kepada ibu hamil, kanak-kanak kecil dan orang tua-tua. 

Jadi dengan ilmu pengetahuan ini, kita mesti lebih bertanggungjawab untuk memberi nasihat yang baik supaya kita sama-sama melindungi ibu hamil, anak-anak dan warga emas kita, terutama sekali bila telur ayam mentah itu tidak disimpan di dalam peti sejuk. 







Prof Dr Imelda,
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.


from The Reporter https://ift.tt/2vR0Yb0
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger