Gara-gara menagih hutang dari rakannya sebanyak RM300, seorang lelaki maut akibat dikelar di leher, petang semalam, lapor Bernama.
Dalam kejadian jam 1.25 petang Selasa di KM7 Jalan Tengah Nipah berhampiran Taman Warisan 4, selain mangsa, Fazrin Ibrahim dikelar sehingga maut, adik ipar mangsa, Hardisyam Saparuddin, berusia 11 tahun turut cedera diserang oleh suspek yang hanya dikenali sebagai Kajan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 30 tahun sedang memandu kereta yang turut dinaiki oleh suspek dan adik ipar mangsa.
Siasatan awal mendapati, mangsa terlebih dahulu menjemput adik iparnya dari sebuah sekolah sebelum singgah mengambil suspek. Dalam perjalanan kanak-kanak itu tertidur dan terbangun ketika diserang oleh suspek dari belakang dengan menggunakan senjata pisau jenis barong.
"Suspek dipercayai mengelar mangsa di bahagian leher sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke tepi jalan dan mangsa bertindak keluar dari kereta untuk cuba melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek.
Menurut Hardisyam, abang iparnya yang cedera tidak dapat berlari jauh dan terjatuh ke tanah. Apabila dia datang mendekati dan mendapati abang iparnya berlumuran darah di bahagian leher menyebabkan Hardisyam trauma, menangis dan menjerit melihat keadaan Fazrin.
Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian membantu kedua-dua mangsa dan dihantar ke hospital di mana Fazrin kemudian disahkan telah meninggal dunia.
Suspek yang telah melarikan diri dari tempat kejadian kini sedang giat diburu oleh polis.
from The Reporter https://ift.tt/2HskrQO
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment