Kerajaan negeri Kedah, telah mengagihkan lebih 100,000 bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan di negeri itu sejak Mac tahun lalu sehingga kini, meskipun tanpa kibaran 'bendera putih'.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menerusi hantaran Facebooknya malam tadi berkata, bantuan itu diagihkan kepada rakyat di negeri itu yang terkesan, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB).
“Tanpa bendera putih pun, selama lebih setahun kerajaan telah menyediakan lebih 100,000 bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan, dan puluhan ribu lagi melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Untuk PKP3.0 ini saja pun sudah 48,000 bakul makanan.
“Saya faham maksud menaikkan bendera putih sebagai satu inisiatif yang murni daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin, tetapi bila ia mula dirampas dan dijadikan alat politik oleh pembangkang, untuk menggambarkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terputus bekalan makanan, maka ia sudah tidak putih lagi.
“Campur tangan mereka (parti pembangkang) itu sentiasa membawa kecomotan kepada niat yang murni. Sebagai wakil rakyat, bantulah rakyat yang dalam kesusahan mengikut posisi, keupayaan dan kesanggupan masing-masing,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kakitangan agensi kerajaan yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan petugas PKWR, bekerja siang malam membantu tanpa memandang bendera dengan pergi ke setiap lorong dan kampung, membantu rakyat yang memerlukan.
“Kita bina sistem dan mekanisme pengagihan yang terbaik dan selamat untuk semua pihak. Beri nama dan alamat mereka yang memerlukan, petugas PKOB akan hantar dan jika sukar menembusi talian PKOB, beri nama-nama itu kepada wakil rakyat kerajaan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga sejak setahun lalu telah menyediakan bank makanan (foodbank) di 578 buah masjid, yang boleh diambil secara percuma oleh mereka yang memerlukan.
Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen di Kedah telah mula mengatur gerak kerja bagi mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan masing-masing, dengan dana RM300,000 yang diberikan kerajaan pusat, menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim ketika dihubungi Bernama memaklumkan, pihaknya akan mula mengagihkan bantuan itu mulai hari ini kepada penerima yang layak, berdasarkan maklumat diperolehi pihaknya.
Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul pula berkata, pihaknya sudah menerima peruntukan itu dan agihan kepada penerima sedang dilaksanakan.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3jBeHKf
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment