Berkuatkuasa serta-merta semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, selepas sekian lama jawatan tersebut tidak diisi oleh mana-mana pemimpin semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan, Ismail Sabri masih kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan. Pelantikan Ismail sebagai TPM katanya akan dapat membantu Muhyiddin menguruskan pentadbiran negara lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang berdepan dengan Pandemik Covid-19.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu Ismail Sabri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara. Pelantikan itu diharapkan dapat meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tampil beberapa pemimpin Kerajaan PN mengucapkan tahniah kepada dua pemimpin berkenaan. Bagaimanapun, 'kegembiraan' itu tidak bertahan lama apabila Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan parti keramat Melayu itu menarik diri dari PN berkuatkuasa serta-merta.
Zahid berkata, keputusan itu diambil selepas memperhalusi dan mempertimbangkan garis panduan utama oleh Majlis Tertinggi pada 11 Mac 2020 ketika UMNO memberi sokongan kepada Muhyiddin di mana kerajaan harus segera menangani kelembapan ekonomi dan melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19.
Tetapi bagi UMNO, Muhyiddin gagal berbuat demikian dan berpandukan tujuh kegagalan yang digariskan, maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin telah ditamatkan serta-merta.
Zahid turut menggesa Muhyiddin berundur dari jawatan tersebut bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik secara terhormat agar wabak Covid-19 dan program imunisasi dapat ditangani dengan berkesan. Selepas berjaya mengawal Covid-19, Perdana Menteri baharu perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan pilihan raya dan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3ysR1vQ
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment