Home » , » 'Tiba-tiba bilik berbau hanyir yang kuat...' - Masih ramai yang nak sewa rumah itu walaupun owner dah larang

'Tiba-tiba bilik berbau hanyir yang kuat...' - Masih ramai yang nak sewa rumah itu walaupun owner dah larang

shamsulazlan | 12:24 | 0 comments


Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


Sembilan tahun yang lalu, aku dapat tawaran sambung belajar di UiTM Shah Alam. Perkara pertama yang perlu difikirkan ialah, aku nak duduk mana sebab aku tak dapat hostel. Mujur ada kawan yang prihatin, maka dapatlah aku dengan kawan-kawan menyewa sebuah rumah di kawasan Seksyen 2, berhampiran dengan Wet World, kalau korang tahulah. 


Rumah itu jenis banglo dua tingkat, ada empat bilik. Tiga bilik di atas dan satu bilik di bawah. Kami semua ada lapan orang, kiranya dua orang tinggal sebilik. Kitorang masuk rumah itu dengan perasaan berbelah bahagi. Best, suka, pelik, rimas dan takut semua ada. 


Pertama, tuan rumah hanya minta RM50 sebagai deposit dan sewa pertama hanya dibayar apabila masuk bulan kedua. Kiranya, bulan pertama duduk secara percuma. Kedua, tuan rumah tak galakkan kitorang bawa banyak barang sebab nanti penat nak angkat semua itu balik. Ketiga, pokok ara di tepi rumah itu sangat besar sampai dahannya boleh masuk ke tingkap bilik atas. 


Malam pertama duduk di rumah itu, kitorang tak tidur sebab sibuk memunggah dan mengemas barang sambil melayan DVD Korea. Cerita seram bermula pada hari kedua. Tanpa perlu menunggu malam, pada waktu siang pun kitorang dah kena kacau. Mangsa pertama adalah Azmi. 


Masa itu jam menunjukkan 10.30 pagi, Azmi bangun sebab sakit perut dan pergi ke tandas bawah. Tetapi pintu tandas itu berkunci. Tandas di tingkat atas pula rosak, tuan rumah kata dia akan baiki. 


Tunggu punya tunggu, orang di dalam tandas tak keluar. Azmi hilang sabar lalu menjerit menyuruh orang di dalam tandas itu cepat sikit sebab dia dah tak tahan. Jeritan Azmi membuatkan kitorang yang lain terbangun lalu bingkas turun untuk melihat apa yang berlaku. Yang peliknya, kitorang semua ada di situ. Jadi, siapa yang berada di dalam tandas itu? 


Pintu tandas pula berkunci, siap ada bunyi pam tandas ditarik. Dalam ramai-ramai itu, hanya Lan seorang sahaja yang berani sikit. Mungkin sebab dia keturunan Bugis kot. Dia rentap pintu tandas itu sampai terbuka. Tiada sesiapa di dalamnya, tetapi pintu memang terkunci dari dalam. Azmi terus tak jadi membuang air besar, mungkin sebab takut melihat insiden yang tidak dijangkakan itu. 


Malam itu, kitorang kena lebih teruk. Masa aku tidur nyenyak, tiba-tiba sahaja ada sesuatu yang menarik kedua-dua belah kaki aku sampai terjatuh dari katil menyebabkan kepala aku terhentak. Apa lagi, aku pun anginlah sebab fikir budak-budak sengaja nak kenakan aku. Bila bangun, tak ada orang pula. Yang ada hanya Lan seorang saja tengah membuta di katilnya. Aku tak rasa Lan yang buat sebab dia tidur mati.


Bila keluar dari bilik, terdengar diorang sedang ketawa. Rupanya diorang layan DVD di ruang tamu. Aku pun masuk semula ke dalam bilik sebab masih bingung dengan kejadian tadi. Tapi aku perasan masa tengah menjengah ke ruang tamu tingkat bawah, aku perasan Lan ada. Bukan ke tadi aku nampak dia tengah tidur di dalam bilik?! Ah sudah!


Dengan perasaan berani, aku tengok atas katil Lan ada bonjolan di bawah selimut, seperti ada orang. Aku tarik kain selimut itu dan guess what? Ada batu nisan yang sudah retak dan secara tiba-tiba bilik aku berbau hapak dan hanyir yang sangat kuat. 


Aku rasa kaki aku dah tak jejak tanah dah sebab berlari laju sangat. Aku berlari keluar dari bilik itu dan pergi ke ruang tamu sebab nak beritahu yang lain. Tapi diorang tak ada pun kat situ. Nak tahu diorang kat mana? Semua dah berada di luar rumah! Rupanya diorang awal-awal lagi dah kena kacau. Yang teruknya, tiada seorang pun yang nak kejutkan aku. Taik betul diorang ni.


Selepas diorang tenangkan aku, kitorang pun decide nak buat apa memandangkan pada waktu itu jam 3 pagi. Nak minta bantuan dari Tok Imam, kitorang tak tahu rumah dia di mana. Nak minta tolong jiran, kiri nanan rumah orang Cina. Last-last Salleh ajak lepak di sebuah restoran sampai pagi. Bunyi macam senang tetapi masing-masing semua tak pakai baju.  Pastu pakai boxer dengan kain pelikat je. Mahu tak mahu, terpaksa juga kitorang masuk rumah itu semula dan ambil seluar, dompet serta kunci motosikal. 


Disebabkan bilik Bob dan Naim di bawah, maka kitorang pinjamlah baju dan seluar dia. Semua takut nak naik ke tingkat atas. Dompet aku pun tinggal, semua pakai duit Naim dulu. Mujur kunci motosikal kitorang sangkut di dinding.



Masa nak keluar dari rumah itu, Wak pula perasan ada budak perempuan di pintu dapur tengah senyum sambil melambai tangan pada dia. Yang aku pula boleh terperasan budak itu juga sebab aku tengok muka Wak dah kejung + pucat lesi. Sekali budak itu senyum, rasa macam terkencing dalam seluar.  Kepala lutut aku menggigil sampai ke restoran. 


Sampai di restoran, masing-masing sibuk buka cerita termasuk dengan aku sekali. Mula-mula Wak cerita, malam itu lebih kurang jam 12 lebih, dia sibuk download, tiba-tiba ada bunyi seperti orang membaling batu di tingkap biliknya. Bila dijenguk, ternampak ada seorang perempuan duduk di atas pokok kayu ara bersebelahan dengan rumah. Berpakai putih kekuningan, koyak dan berambut panjang. 


Yang sadisnya, perempuan hodoh itu boleh pula senyum pada dia. Wak apa lagi, terus tutup tingkap bilik dan terus keluar ke bilik aku kononnya. Malangnya, seekor lagi makhluk duduk di depan pintu bilik dia, tetapi kali ini hantu budak. Jadi dia ambil keputusan untuk terjun dari tingkap bilik dia ke bawah. Akibatnya, kaki dia terkehel. Nasib baik tak patah. 


Azmi pula cerita yang dia nampak ada budak perempuan melambai tangan pada dia (Yang ini aku pun kena). Aku pasti budak itu bukan manusia sebab aku tengok dia tak ada kaki! Sama pula cerita dia nampak hantu itu di siling rumah. Bila buka mata je, hantu itu betul-betul eye to eye dengan dia. Kiranya masing-masing semua kena kacau. 



Aku orang yang terakhir bercerita. Aku beritahu yang kaki aku kena tarik semasa tidur sampai menyebab kepala aku terhentak di lantai. Kemudian aku kata aku nampak diorang tengah layan movie di ruang tamu. 


Azmi: "Bila masa pulak kitorang tengok DVD ni?!"


Rupa-rupanya tiada seorang pun yang tengok DVD pada waktu itu. Dah tu, siapa yang aku nampak? Haru betul. Kaki aku yang dari tadi menggigil bertambah semakin kuat menggigil. 


Tengah sibuk berborak, aku terhidu bau yang kurang menyenangkan. Yang lain pun turut terhidu bau yang sama. Rupanya Azmi dah terkencing dalam seluar sebab takut sangat. Nasib baik malam itu tak ramai sangat orang kat restoran itu. Malu betul. Aku boleh pula ternampak si Sam pakai selipar sebelah lain. Dari sibuk berkongsi cerita seram terus jadi cerita kelakar pula. 


Tengah sibuk-sibuk ketawa, baru kitorang perasan yang Salleh dan Naim tiada dengan kitorang. Yang ada cuma kami berenam iaitu aku, Azmi, Sam, Wak, Bob dan Lan. Dalam ramai-ramai itu cuma Bob seorang saja yang bawa handphone. Jadi, kitorang cuba menghubungi Naim. Tetapi panggilan tidak dijawab. Kami cuba call Salleh pula, pun sama panggilan tak dijawab. 


Lan ambil telefon bimbit Bob, dia baca apa entah agaknya kemudian dia suruh Bob call Naim sekali lagi. Bob call dan buka loud speaker. Korang tahu apa jadi? Ada suara perempuan mengilai sampai meremang bulu roma aku. Kami berenam terus terdiam, tiada seorang pun yang berani bercakap. Last-last kitorang sepakat untuk tunggu sampai pagi esok barulah balik ke rumah itu semula untuk mencari Naim dan Salleh.


Jam 7.30 pagi, kitorang beredar dari restoran itu. Hati aku masih lagi berdebar-debar. Yang lain? Tak tahu. Sampai di rumah, aku tengok pintu rumah dengan pagar sudah terbuka luas. Kalau pencuri masuk, memang dia kaya sebab laptop, wallet dengan handphone kitorang semua tertinggal begitu sahaja. 


Bulu tengkok aku masih lagi meremang. Tiada sesiapa yang berani masuk rumah itu dulu. Aku ingat ada 20-30 minit kitorang duduk terpacak di depan rumah sebab tak berani masuk. Tiba-tiba handphone Bob berbunyi, aku rasa tak sedap hati. Janganlah kata yang hantu itu call kitorang suruh masuk rumah. Lan jawab panggilan itu. Sebenarnya dalam ramai-ramai kitorang ni, Lan yang paling berani. Tapi kadang-kadang dia penakut juga. 


Pihak hospital call, katanya Naim ada di wad kecemasan Hospital Klang. Kemalangan katanya. Memandangkan ada missed called pada handphone Naim, sebab itu pihak hospital call handphone Bob. Naim kemalangan? Pelik. 


Masing-masing dah jadi serba salah dan bingung. Tak tahu sama ada nak melawat Naim di Hospital Klang atau mencari Salleh yang hilang entah ke mana. Akhirnya kitorang call tuan rumah untuk tengok apa yang  patut. Aku dengan Sam pula pergi ke Hospital Klang untuk melihat keadaan Naim. Kalau memang tenat sangat, aku akan maklumkan kepada yang lain untuk datang. Yang lain pula ditugaskan mencari Salleh di sekeliling rumah itu kerana berkemungkin disorok sesuatu. Selebihnya kami hanya mampu bertawakal. 


Dalam perjalanan ke Hospital Klang, aku tak tahulah Sam pecut sampai berapa KM/J. Tetapi hati aku masih lagi kuat mengatakan hal ini belum berakhir. Sampai di hospital kami terus mencari Naim. Sebak hati melihat keadaan Naim yang parah. Kaki dia cedera teruk, dilenyek dengan kereta atau sesuatu. Kes dikategorikan sebagai kes langgar lari. Tetapi naluri aku kata, umur Naim tak panjang sebab banyak darah mengalir keluar. 


Sam pula tak sanggup nak tengok. Air mata dia dah berjurai-jurai macam air terjun. Doktor pun kata yang Naim nyawa-nyawa ikan. Tak dapat buat apa-apa. Aku duduk di tepi Naim, dia masih boleh bercakap tetapi sangkut-sangkut. Dia minta maaf sebab dia dah menyusahkan kitorang. Berulang kali dia minta maaf tetapi aku masih lagi tak dapat faham apa lagi yang dia cuba maklumkan. 


Tidak beberapa lama kemudian, Naim disahkan meninggal dunia. Aku gagahkan hati untuk menghubungi yang lain untuk memaklumkan berita sedih menimpa Naim. Sam pula dah terduduk di tepi balkoni dengan mata merah sebab terlalu banyak menangis. Seketika kemudian, ibu bapa Naim datang ke hospital. Aku tak sanggup nak tunggu lagi, terus ajak Sam balik ke Shah Alam. 


Sampai di rumah, aku tengok ramai orang tengah mencari Salleh, tetapi tak jumpa. Habis satu rumah digeledah, akhirnya orang tua di situ minta tolong dari seorang ustaz. Tak ingat apa namanya tetapi selepas Asar baru kitorang berjumpa dengan Salleh yang duduk di atas busut belakang rumah. 


Yang hairannya, dah 5-6 kali orang cari tetapi tiada yang menemuinya di situ. Tak kisahlah, yang penting kitorang lega Sam dah ditemui semula. Ekoran kejadian itu, kami semua bersepakat untuk berpindah dari rumah tersebut. Kebetulan pula di Seksyen 7, pintu belakang UiTM ada satu rumah untuk disewa. Kitorang berpindah ke rumah sewa itu. Barang-barang Naim juga dibawa bersama.


Terus terang aku cakap, aku memang hangin gila tengok muka tuan rumah sebab tak beritahu yang rumah ini 'keras'. Patutlah dia suruh bayar RM50 dulu, pastu tak bagi bawa barang banyak-banyak. 


Aku demam tiga hari, jenazah Naim telah selamat dikebumikan di Raub, Pahang. Seminggu selepas itu, keadaan kembali pulih. Cuma Sam yang masih mengalami sakit-sakit badan. Setelah beberapa hari, aku tergerak nak bertanya Salleh mengenai apa yang berlaku sebelum Naim, meninggal dunia.



Hari pertama masuk rumah itu, Naim dengan Salleh ada buat hal yang tidak sepatutnya. Diorang pergi cangkul busut yang berada di belakang rumah. Naim pula menguis-nguis menggunakan kakinya. Mungkin disebabkan itu dia mengalami kemalangan sehingga menjejaskan bahagian kakinya. (Pada sangkaan akulah).


Menurut Salleh lagi, ada satu malam yang kitorang kena gangguan, dia dengan Naim sebenarnya turut terkena. Tetapi hantu itu siap kejar diorang sampai ke jalan raya. Diorang punyalah cuak sampai berlari ke tengah jalan. Entah dari mana datangnya kereta tiba-tiba menghentam diorang. Naim tercampak ke tengah jalan, Salleh pula di tepi jalan. Datang kenderaan yang lain terus melenyek kaki Naim. 


Salleh kata, dia terus tidak sedar selepas itu sampailah kitorang jumpa dia atas busut itu. Yang peliknya, macam mana dia boleh duduk di atas busut sedangkan dia kata dia dah lari ke jalan besar? Kenapa Naim seorang yang kena teruk sangat, tetapi Salleh tak? 


Akhirnya aku mendapat jawapan sebenar. Tidak lama selepas Salleh cerita dengan aku, dia jatuh sakit. Tak tahulah sakit apa, tetapi tiga bulan kemudian dia meninggal dunia. Keluarga dia sendiri bingung kerana doktor pun tak tahun Salleh sakit apa. Tapi aku yakin kes ini ada kaitan dengan busut yang digali diorang. Aku dengan geng-geng lain sempat menziarah arwah Salleh. Paling tak boleh tahan Bob sebab dia roomate dengan Naim. Memang aku tahu dia sedih sangat. Yang tak boleh lupa, kitorang semua menangis masa angkat jenazah Salleh. 


Aku, Azmi, Sam, Wak, Bon dan Lan semua telah selamat menghabiskan pengajian di UiTM. Buat Naim dan Salleh, kitorang tetap akan ingat korang berdua sampai bila-bila. Al-fatihah.  


Diceritakan oleh Mr. Q


PENJELASAN DARI ANAK TUAN RUMAH


Apa yang diceritakan itu adalah benar-benar belaka. Sebab itu adalah rumah keluarga saya, ayah saya adalah tuannya. Rumah itu sebelum ini berlaku kejadian bunuh sekeluarga di mana si ayah kepada keluarga itu mengamalkan ilmu hitam. Namun kesemua mayat ditemui di dalam rumah tersebut, kecuali mayat si ayah. 


Sehingga sekarang, ia masih tidak dijumpai. Rumah itu telah diberikan kebenaran untuk diruntuhkan oleh pihak berwajib kerana ayah saya seringkali dipersalahkan di atas segala kejadian yang berlaku. Namun kesemua usaha untuk meruntuhkan rumah itu menemui jalan buntu. 


Berkenaan dengan kesemua penyewa, sebelum berpindah ayah sudah memaklumkan kepada mereka agar mencari rumah lain dan tidak membenarkan mereka menyewa di rumah tersebut. Namun mereka terlalu berkeras hati. 


Cuma kejadian yang berlaku ini amerupakan kejadian yang melibatkan kematian yang berlaku. Selama ini hanya gangguan sahaja. Namun itu merupakan kes kematian kali pertama. Sehingga kini, masih ada yang mahu menyewa rumah tersebut walaupun telah dilarang keras oleh ayah. 



from The Reporter https://ift.tt/3jOj3hb
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger