Pelajar berusia 13 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas menggantung dirinya di bilik air di rumahnya di Taman Seri Relau, Paya Terubong, Georgetown, kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ibu mangsa sebelum itu meminta anaknya menyiapkan kerja sekolah sementara dia mahu keluar rumah.
Namun, mangsa memberitahu dia tidak dapat menghabiskan kerja sekolahnya sebelum masuk ke bilik air untuk mandi.
"Ketika itu hanya bapa remaja terbabit berada di rumah namun dia hairan kerana anaknya tidak keluar dari bilik air selepas 30 minit selain hanya mendengar bunyi air," katanya.
Lelaki itu mengetuk pintu bilik air tetapi tiada sebarang jawapan. Bimbang dengan keadaan anaknya, lelaki itu menolak pintu bilik air dan mendapati anaknya menggantung diri dengan menggunakan tuala.
Dia segera menurunkan mangsa dan memberi bantuan pernafasan sehingga mangsa termuntah, lalu dia meminta bantuan dari jiran untuk menghubungi ambulans.
Mangsa dikejarkan ke hospital dan pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan selama 30 minit, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui pada badan mangsa.
Siasatan juga mendapati guru sekolah ada menghubungi pasangan itu memaklumkan mangsa tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan, selain mendapati mangsa kurang berminat untuk belajar dan prestasinya juga agak lemah.
Mangsa sebelum ini juga pernah mengadu kepada ibu bapanya yang dia mempunyai banyak kerja sekolah dan tertekan untuk belajar.
Sekeping nota turut ditemui di mana mangsa mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang menjaga di selama 13 tahun.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2ZmqG0x
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment