Home » , » Zakir Naik tidak dibenarkan beri ceramah atas faktor keselamatan - KPN

Zakir Naik tidak dibenarkan beri ceramah atas faktor keselamatan - KPN

shamsulazlan | 20:57 | 0 comments

Penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium, termasuk media sosial, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

“Satu arahan dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan baru-baru ini, yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.

“Apabila keluarnya arahan ini, semua ketua polis negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka, supaya menolaknya,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.

“Kami akan dapatkan fakta-fakta yang sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes berkenaan,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

“Itu adalah arahan yang memang adil untuk mententeramkan keadaan, ia hanya bersifat sementara dan jika keadaan masih lagi berserabut, arahan tersebut akan kekal.

“Ia jelas bahawa kita tidak mahu forum-forum ceramah agama ini diselitkan dengan isu berkaitan dengan politik.

"Amat tidak sesuai sekali dalam ceramah-ceramah agama yang membabitkan isu-isu politik, baik dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Nafi ada agenda

Abdul Hamid berkata dengan arahan yang dikeluarkan itu, polis berharap tidak timbul isu bantahan sehingga keputusan muktamad diperolehi.

“Berhubung kes ini, saya tidak mahu mengatakan pihak sana salah pihak sini betul (menuding jari) sebab beberapa tindakan diambil oleh kedua-dua pihak... oleh Zakir dan juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kandungan ceramah beliau,” katanya.

Jumaat lepas, Zakir yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia diambil keterangan buat kali pertama selama lima jam di Bukit Aman.

Semalam sekali lagi Zakir telah memberikan keterangan kepada polis selama kira-kira 10 jam.

Penceramah dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu.

Hal itu mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Ditanya mengenai kemungkinan Zakir akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut, Abdul Hamid berkata: “Setakat ini belum, cukup memadai dengan keterangan yang diberikan sebelum ini. Polis juga telah mempertimbangkan jawapan yang telah disoal oleh pegawai penyiasat bahawa beliau menafikan mempunyai agenda atau mahu mencetuskan hura-hara.”

Abdul Hamid menggesa supaya arahan polis yang melarang mana-mana pihak membenarkan penceramah bebas itu mengadakan sebarang ceramah di mana-mana negeri supaya dihormati.

“Saya menyeru semua pihak untuk akur kepada arahan polis kerana untuk menentukan keselamatan, keharmonian dan keamanan dalam negara ini pihak polis memikul tanggungjawab yang amat berat.

“Polis membuat keputusan tersebut dengan fakta-fakta dan bukan kita buat secara semborono sahaja mahupun untuk mengikut telunjuk sesiapa pun,” katanya.

Kata Abdul Hamid beliau memberi ruang yang secukupnya kepada pegawainya untuk mengambil tindakan dan tidak ada jangka masa yang ditetapkan.

“Tidak ada tempoh masa yang saya kenakan, semua siasatan pada hakikatnya mesti dilakukan dengan tertib serta mengikut prosedur. Sudah pasti kita hendak sesuatu itu berjalan dengan cepat,” katanya.

Ditanya sama ada pihak berkuasa India ada membuat sebarang permohonan bagi menyerahkan Zakir kepada mereka, Abdul Hamid berkata tiada sebarang permintaan daripada pihak berkuasa negara itu dan pihaknya juga belum mengetahui fakta tentang kesalahan serta perkara yang berkaitan dengan Zakir dan apa yang berlaku di India.

Sumber: Bernama via MalaysiaKini


from The Reporter https://ift.tt/2Mukzp5
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger