Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan diperintahkan supaya disebat dua kali oleh Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak kerana melakukan hubungan seksual dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan seorang bayi perempuan berumur 11 bulan.
Hakim Mohamad Kamil Nizam memerintahkan Hashim Karim supaya menjalani hukuman penjara sejak tarikh dia ditahan pada 22 Ogos tahun ini selepas bekas pemandu lori berusia 68 tahun itu mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Shah Alam pada 4 petang, 20 Ogos tahun ini.
Dalam rayuannya, Hashim memohon supaya hukuman diringankan atas alasan dia perlu menjaga anak yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin meminta mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya itu melibatkan seorang bayi.
Beliau berkata mangsa bagaikan seorang cucu kepada tertuduh dan dia seharusnya menjaga bayi itu dengan baik, bukannya mendatangkan kecederaan kepadanya.
Aimi Syazwani berkata sungguhpun Hashim berumur 68 tahun, beliau memohon mahkamah supaya menjatuhi hukuman sebat terhadapnya kerana hukuman itu dibenarkan di bawah undang-undang bagi pesalah seksual.
Beliau turut memohon mahkamah supaya menghalang media daripada menyiarkan identiti serta maklumat berkaitan mangsa mengikut Seksyen 14 Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Hakim Mohamad Kamil membenarkan permohonan itu.
Menurut fakta kes yang dibacakan kepada Hashim di mahkamah, ibu bapa bayi itu menghantar anak mereka kepada pengasuh pada hari berkenaan. Pada kira-kira 4 petang, pengasuh itu meminta Hashim, yang juga bapa mentuanya, supaya menjaga bayi itu sebab dia mahu menyelesaikan urusan insurans dan cukai jalan keretanya.
Sekembalinya pengasuh itu ke rumah, dia mendapati bayi itu sedang menangis di dalam buaian dan ternampak darah pada seluar bayi itu. Dia kemudian memandikan bayi itu dan mendapati ada kesan darah.
Ibu bapa bayi berkenaan kemudiannya membawa anak mereka ke hospital selepas mendapati darah pada lampin bayi selain darah yang keluar dari kemaluannya.
Seorang pakar perbidanan dan sakit puan yang memeriksa bayi itu berkata kecederaan yang dialami bayi berkenaan mungkin disebabkan objek tumpul besar yang dimasukkan secara paksa ke dalam kemaluannya.
Siasatan polis mendapati tertuduh memberitahu anak lelakinya bahawa dia memasukkan jarinya ke dalam kemaluan bayi berkenaan dan perbualan itu didengari oleh orang ketiga. - Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2wDND39
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment