Inilah akibatnya kalau terlalu percaya dengan kata-kata si penjual produk yang hanya mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kesan dan akibat yang bakal ditanggung oleh si penggunanya. Semoga kisah anak kecil ini yang tidak berdosa ini menjadi pengajaran buat kita semua.
HATI si ibu rasa bersalah kerana atas desakan kaum keluarga yang ingin membantu, telah mengesyorkan pemberian 'ubat-ubat' tersebut kepada bayinya yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan genetik.
Setelah beberapa minggu anak kecil ini dipaksa makan 'ubat-ubat', akhirnya anak kecil ini dikejarkan ke hospital apabila muntah hitam pekat keluar daripada mulut si kecil ini. Sebelum ke hospital, si ibu sempat bertanya kepada si penjual produk (ahli keluarga/sanak saudara) apa yang perlu dilakukan dan inilah jawapan mereka:
Ibu: "Masa anak saya muntah hitam pekat dan likat, saya terkesima. Saya bertanya kepada penjual apa yang perlu saya buat. Dia kata jangan bawa anak ke hospital. Itu nyahtoksik, itu proses membuang semua sisa-sisa penyakit. Itu tanda proses penyembuhan. Teruskan ambil ubat tersebut dalam tempoh dua minggu."
Hati si ibu ini tidak mahu lagi mengikut saranan mereka lalu membawa anak kecil itu ke hospital. Apabila tiba di hospital, keadaan anak kecil ini semakin teruk setelah mengambil produk-produk ubat tersebut.
Anak kecil itu kelihatan sudah tidak bermaya. Organnya membesar secara tidak normal, jaundice yang teruk (kekuningan seperti dilumurkan kunyit satu badan). Pihak hospital cuba membantu anak kecil ini, namun apakan daya Allah lebih menyayanginya.
Hati si ibu masih bersedih dan wujud rasa kekesalan.
"Saya tak dapat lupa macam mana anak saya meraung dan menangis tidak mahu makan ubat itu. Saya juga tidak mampu lupakan wajah anak saya, saat saya memaksa dia makan nestum khas tersebut serta ubat-ubat segenggam yang perlu dihancurkan ataupun dibuka kapsul sebelum diberi kepada anak saya," katanya.
Ditambah lagi apabila ahli keluarga menyalahkan si ibu kerana membawa anak itu ke hospital. Ini kerana bagi mereka, punca kematian anak itu adalah kerana dibawa ke hospital dan si ibu tidak mengikut saranan mereka dalam memberi rawatan menggunakan produk tersebut.
Entahlah, kesal sudah tidak berguna lagi. Semestinya seperti yang saya terangkan dalam wawancara pagi tadi, si penjual produk akan mencari pembeli produk mereka. Semestinya golongan yang terdesak dan berharap seperti si ibu ini telah menjadi mangsa tipu daya helah mereka.
Bayi tidak boleh diberi ubat-ubatan sebarangan. Ahli profesional kesihatan juga sangat berhati-hati dalam pemberian ubat untuk golongan kanak-kanak terutama bawah umur dua tahun. Dos ubat juga sangat berbeza dan bergantung kepada berat bayi atau kanak-kanak tersebut. Tambahan pula, jika bayi atau kanak-kanak tersebut sememangnya ada masalah kesihatan, sudah pasti bukan sebarangan ubat atau apa-apa produk tambahan boleh diberikan.
Lihat sahaja, apabila nyawa sudah terpisah dari jasad, siapa yang mahu bertanggungjawab? Penjual mahu menerima segala derita jiwa si ibu?
Untuk makluman, 'ubat-ubat' ini dijual sehingga mencecah harga RM4,000. Begitulah terdesak dan berharapnya si ibu yang ingin melihat anak kecilnya sembuh. Namun harapannya bertukar tragedi apabila si anak kecil itu bukan sahaja meninggalkan dia buat selama-lamanya, malah meninggalkan rasa perit, derita dan kekesalan.
Hingga saat ini, ahli keluarga (yang menjual produk tersebut) masih lagi menyalahkan si ibu kerana tidak memberi makan ubat-ubatan itu dengan betul. Malah si ibu dilabel 'degil' dan bukan salah 'ubat' tersebut. Allahuakbar.
Jiwa saya sedikit kacau mendengar kisah ini. Kami pengamal kesihatan media sosial telah berkali-kali memberitahu akan bahaya produk-produk seperti ini, yang dijual oleh orang yang bukan ahli dan bahayanya sesiapa sahaja yang ingin mengetahui berkaitan penyakit atau produk bertanyakan kepada si penjual produk.
Kami tahu ada dalam kalangan anda terdesak untuk mencari kesembuhan bagi penyakit yang anda atau ahli kaum keluarga anda alami. Namun kami dalam bidang kesihatan tidak akan memberi janji-janji kosong jika realitinya sesuatu penyakit itu kesembuhannya masih belum lagi ditemui. Kami bukan menjual harapan.
Seluruh rakan Medical Mythbusters Malaysia (M3) saya marah. Kami kesal dan kecewa, kenapa nyawa bayi tidak berdosa ini dipermainkan? Entah berapa ramai lagi yang menjadi mangsa mereka.
Saya tidak menyalahkan si ibu secara keseluruhan. Jika mereka tidak membuka mulut, maka tidak juga kita semua tahu cerita. Tetapi saya amat kesal dengan tindakan si penjual yang memberi konsultasi kesihatan sewenang-wenangnya, sedangkan mereka bukan ahlinya.
Nota: Gambar merupakan rangkaian produk yang diberikan kepada anak si kecil itu. Kredit RuQayyah Muhd dan Bel Nawhen untuk cerita asal dan gambar ini.
Produk apakah ini? Untuk makluman, terdapat kekangan dalam mendedahkan nama-nama produk yang terlibat yang berisiko tinggi menyebabkan penulis disaman. Selain itu:
1. Kekangan sensitiviti pesakit dan 'confidentiality'nya
2. Ancaman dan ugutan.
Menurut Ammar Kamar, beliau pernah diugut kerana memberitahu nama spesifik produk yang membahayakan.
"Kita tidak pernah promosi boikot porduk itu dan ini. Yang kita tegaskan adalah pemilihan produk yang selamat dan beretika. Bukan main redah saja berikan kepada anak kecil.
"Saya tidak begitu kisah dengan nama produk kerana apa yang saya belajar adalah, bahaya pemberian suplimen atau apa-apa produk kepada bayi tanpa merujuk kepada mana-mana pihak yang sepatutnya. Itu yang sewajarnya," katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2E4ezM2
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment