Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, amalan itu bukan dasar pendidikan namun dilaksanakan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI).
"Selaras dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang dilaksanakan tahun ini, pihak sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana kita mahu murid dididik secara holistik dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
"Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid, sebaliknya menggalakkan mereka yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu.
"Ada sekolah masih mengamalkan pengasingan kelas kerana menjadi kebiasaan. Dengan pelaksanaan PPSR, kita berharap amalan ini dihentikan menjelang sesi persekolahan 2019," katanya memetik laporan dari Harian Metro.
Dr Amin juga berharap, amalan Jabatan Pendidikan Negeri mewujudkan sekolah kawalan iaitu memilih pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik dan disiplin dihentikan kerana tidak selaras dengan dasar pendidikan negara.
Amalan itu tidak digalakkan kerana ia menyusahkan pelajar. Malah ada pelajar yang terpaksa ke sekolah jauh kerana tidak diterima di sekolah terletak berhampiran kawasan perumahan mereka.
Sementara itu di media sosial, kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran itu mengundang pelbagai reaksi netizen khususnya golongan ibu bapa.
"Kalau yang pandai membantu mereka yang kurang pandai, okeylah. Tetapi kalau yang malas, degil dan mempengaruhi yang rajin, tak tun tuanglah jadinya. Mak bapa akan banyak merungut." - Walno Lizpin
"Setuju. Zaman sekolah rendah dulu tak ada pengkelasan ini. Semua murid dibahagikan sama rata dan semasa saya mengajar dulu pun, kebanyakan cikgu-cikgu lebih mengutamakan murid-murid pandai kelas pertama.
"Hakikatnya bila mereka masuk mengajar kelas akhir, banyak yang merungut itu dan ini. Jangan fikir murid kelas akhir tak boleh jadi manusia. Silap haribulan di masa-masa akan datang, mereka lebih bijak dari murid kelas pertama. Pandang sudut positif." - Izah
"Ada kekurangannya sistem begini. Murid yang lemah dan kurang bersemangat bersaing jadi tak bersemangat. Terutama murid linus tegar. Murid yang masih tidak tahu membaca, mengira dan menulis juga perlu diasingkan agar cikgu dapat memberi tumpuan lebih untuk mereka," - Puan Yana
"Bagi pendapat saya, ada baiknya diasingkan. Sebab murid yang cerdik cepat pergerakan PNP nye. Bila guru mengajar murid-murid cerdik ini, cepat faham. Juga guru boleh terus pergi ke bab seterusnya.
"Tetapi bagi murid yang agak lambat dan berada di dalam kelas yang muridnya sama taraf, guru dapat memberi tumpuan dan mengajar murid-murid itu sehingga faham." - Azizi Isa
from The Reporter http://ift.tt/2BV9c4o
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment