Setelah 2 jam lebih bertarung… Afiqah kecundang… hanya tangisan sahaja mengiringi keluar dari dewan pertandingan. “Moga beroleh kejayaan untuk pusingan seterusnya esok (hari ini)… Moga kuat semangatnya menerima kekalahan ini…”
Demikian kata Salihin Ahmad, 45, di Facebook (FB) mengenai perkembangan anaknya, Afiqah Zahra, 7, dalam pusingan ketiga Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania malam tadi.
Walaupun tewas kepada peserta dari Mongolia, Maral Bat-Ulzii, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang itu membawa bekalan dua kemenangan sebelum ini.
Dia menang di pusingan pertama dan kedua selepas menewaskan seorang lagi peserta Mongolia, Gantsolmon Enkhuyanga di pusingan pertama dan wakil India, Shriyana S Mallya di pusingan kedua dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.
Afiqah Zahra akan meneruskan saingan sembilan pusingan itu pada pusingan keempat hari ini bersama kakaknya, Nur Anisah Salihin, 17, yang bertanding dalam kategori perempuan bawah 17 tahun.
Kekecewaan Afiqah Zahra di pusingan ketiga bagaimanapun ditebus Nur Anisah apabila menang menentang peserta tuan rumah, Mihaela-Delia Radu selepas tewas di pusingan pertama dan seri di pusingan kedua.
Kisah tiga beranak ini mendapat perhatian netizen di FB selepas Salihin sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk menampung perbelanjaan membawa dua anaknya ke pertandingan itu.
“Apa saja untuk anak-anak, saya sanggup lakukan,” kata bapa kepada sembilan anak, Salihin Ahmad, 45, yang juga guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang.
Demi kasih sayang kepada anak-anaknya, dia dan isteri, Nor Zamilahton Zakaria, 39, sanggup menjual rumah kedua yang dimiliki sejak 17 tahun lalu di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.
Tujuannya, untuk menampung kos perjalanan ke Iasi, Romania, supaya dua anaknya, Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, dapat menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017.
“Kami buat keputusan jual rumah itu sebab Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Klang kata mereka tiada peruntukan untuk individu.
“Saya ada hantar surat permohonan kepada Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang kemudian berjanji menyumbang RM3,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Salihin berkata, rumah itu sebelum ini disewakan dan mereka sekeluarga kini menetap di Klang, Selangor.
Sementara itu, dua anaknya itu masing-masing anak pertama dan keenam akan bertanding dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah 7 tahun dalam pertandingan bermula esok sehingga 1 Mei nanti.
“Afiqah muncul juara kebangsaan bawah 6 tahun pada usia 5 dan 6 tahun dan tahun ini juara kebangsaan bawah 8 tahun. Jadi saya melihat potensi dirinya yang juga pernah mengalahkan peserta bawah 18 tahun.
“Kali pertama anak-anak menyertai kejohanan di luar negara adalah pada Mei dan Ogos tahun lalu dengan perbelanjaan sendiri termasuk bantuan pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan,” katanya yang juga Pengerusi Teknik dan Pembangunan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Klang.
Salihin berkata, dia sudah 20 tahun terlibat dalam menghasilkan dan melatih pemain catur, namun tidak menyangka, prestasi anak-anaknya ketika ini berada pada tahap terbaik.
“Saya mengetahui yang nama empat anak saya tersenarai ke kejohanan dunia ini pada September tahun lalu selepas masing-masing meraih kejayaan yang cukup membanggakan.
“Disebabkan kekurangan bajet, anak keempat dan kelima, Alya Izzati, 10, dan Farah Liyana, 9, tidak dapat turut serta ke pertandingan ini,” katanya yang turut diiringi pegawai dari Persekutuan Catur Malaysia (MCF).
The post Kisah 3 Beranak Ini Mendapat Perhatian Selepas Ayah Mereka Sanggup Menjual Rumah Demi Mengharumkan Nama Malaysia appeared first on The Coverage Edisi BM.
from The Coverage Edisi BM http://ift.tt/2ot9jOa
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment