Seorang lelaki yang memandu lori dengan membawa muatan 1.5 tan daun ketum ditahan di Jalan Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata suspek ditahan kira-kira 12.45 tengah malam oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu selepas mengesan lori berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas menahan lori ‘bonded’ tiga tan itu anggota polis telah melakukan pemeriksaan dan menemui 80 beg kanvas serta guni plastik berisi daun ketum yang semuanya seberat 1.5 tan dan dianggar bernilai RM22,000.
Hasil siasatan suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM2,000 bagi setiap perjalanan daripada individu lain untuk menghantar daun ketum itu dari Kuala Nerang ke Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, suspek yang tidak bekerja selepas diberhentikan sebagai pemandu bas ekspres pada Jun tahun lepas, juga mengaku dia menyewa lori berkenaan menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan menerusi program i-Sinar baru-baru ini.
Arriz Sham berkata, selain daun ketum, suspek menyewa lori berkenaan pada kadar RM2,500 sebulan turut menggunakan kenderaan itu untuk perkhidmatan penghantaran pelbagai barangan termasuk perabot dan makanan.
Katanya, suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu kini ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3), Akta Racun 1952.
“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kita masih menyiasat bagi mengesan individu yang memberi upah kepada suspek,” katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3p3uW2y
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment