Baru-baru ini viral di media sosial video seorang anggota polis trafik yang didakwa menumbuk penunggang motosikal, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Bagaimanapun, anggota terbabit tampil membuat laporan menafikan dakwaan itu ketika terbabit dalam tugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, SJR yang dilakukan itu membabitkan tujuh anggota polis trafik IPD Petaling Jaya dari jam 8 hingga 9 pagi Jumaat, 8 Januari 2021.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu dikatakan cuba melarikan diri dari SJR dan ketika berbuat demikian, penunggang motosikal terlanggar kaki salah seorang anggota polis trafik sebelum berjaya ditahan anggota lain.
Setelah itu, penunggang motosikal terbabit dikenakan saman atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen serta cukai jalan telah tamat tempoh. Semakan juga mendapati, lelaki itu mempunyai 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Nik Ezanee berkata, pihaknya juga telah menggesan anggota terbabit yang dikatakan telah membuat laporan menafikan dakwaan tersebut. Meskipun begitu, polis tetap akan menjalankan siasatan dan memberi jaminan akan menyiasat perkara itu dengan teliti sebelum mengenakan tindakan tegas jika dakwaan itu didapati benar.
Sementara itu, penunggang motosikal terbabit tampil menceritakan kejadian yang berlaku pada waktu itu.
"Tiga kali dia tumbuk muka saya, apa yang dia (anggota polis trafik) nafikan itu adalah tidak benar. Sebaliknya dia sudah menumbuk saya dua kali sebelum video itu dirakam," kata Muhammad Farhan Awang Kafli, 30.
Menurut Muhammad Farhan, dia pada ketika itu dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja dan melalui SJR berkenaan. Dia juga mengaku kesalahan dirinya yang cuba melarikan diri tetapi dia berhenti selepas ditahan.
"Saya memang akui bersalah kerana cuba melarikan diri tetapi saya berhenti apabila ditahan. Ketika itu anggota polis berkenaan sudah menumbuk saya sebanyak dua kali, kemudian dia datang lagi merampas kunci motosikal dan mendakwa saya melanggar kakinya.
"Dia beritahu isteri saya, kenapa saya ini bodoh sangat. Saya tahu saya melakukan kesalahan namun tindakan dia itu tidak boleh diterima.
"Saya sudah cuba menjelaskan bahawa saya tidak melanggar kaki dia, namun dia tidak boleh terima dan menumbuk saya. Saya berharap siasatan yang telus dapat dijalankan kerana tindakan anggota polis itu tidak boleh diterima.
"Sekali lagi saya mengaku saya melakukan kesalahan tetapi tidak boleh menghukum saya dengan cara begitu," katanya yang juga telah membuat laporan polis.
Susulan laporan dari kedua-dua pihak itu, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Keterangan dari kedua-dua pihak juga telah diambil. Anggota polis trafik berkenaan telah dipindahkan bertugas di pejabat sementara siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/38sL3Bd
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment