Tiga sahabat dilaporkan lemas selepas mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam.
Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, tiga mangsa terbabit ialah Khairil Ikmal Danial Zamzuraidi, Ahmad Daniel Firdaus Zubir dan Shahir Aqil Shahrun, masing-masing berusia 19 tahun.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.23 petang.
Komander Operasi Kanan JBPM Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, Kemaman dan Chukai telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamat mangsa.
"Daripada maklumat awal, kita dimaklumkan mangsa mandi kawasan pantai itu bersama empat lagi rakan. Namun, tiba-tiba ombak kuat dan empat yang lain berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas," katanya.
Sementara itu, rakan yang terselamat, Ahmad Haikal Zaaba, 19, berasa sedih dan terkilan kerana gagal menyelamatkan salah seorang rakannya, Khairil Ikmal, yang ketika itu berjaya menarik tangannya.
"Saya turut hampir lemas ketika cuba menyelamatkan Khairil Ikmal dan keadaan arus kuat menyebabkan dia terlepas pegangan tangan saya.
"Saya tidak berani menyambar tangannya buat kali kedua kerana bimbang turut lemas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ahmad Haikal, dia bersama semua mangsa serta tiga lagi rakan sekampung mandi di pantai itu kira-kira jam 5 petang.
"Kami semua rakan sekolah menengah dulu dan berpakat berkelah di situ sempena cuti Aidiladha sebelum turun mandi dan air laut ketikai tu paras pinggang kami.
"Ketika mandi, Ahmad Daniel tiba-tiba ditarik arus dan terkapai-kapai sebelum Shahir Aqil cuba menyelamatkannya. Namun kedua-dua mereka kemudian lemas.
"Melihat kedua-duanya lemas, Khairil Ikmal pula cuba membantu. Namun dia turut lemas.
"Ketika itu air laut mulai pasang serta arus sangat kuat. Saya cuba membantu menyelamatkan Khairil Ikmal tetapi gagal walaupun sudah berjaya menarik tangannya," katanya.
Bapa kepada Khairil Ikmal pula terkejut apabila menerima berita yang menimpa anaknya itu.
"Nak gugur jantung saya selepas mendapat panggilan memaklumkan anak dikhuatiri lemas di laut, lalu segera memecut kereta pulang ke Kemaman," kata Zamzuradi Ohtman, 46.
Menurut Zamzuradi, dia sebelum ini pernah melarang anaknya ke pantai itu kerana tahu banyak berlaku kes lemas di situ. Tetapi katanya, Khairil hanya membalasnya dengan senyuman.
Sebelum kejadian, Zamzuradi meminta anaknya duduk di rumah kerana dia dan isteri perlu menghadiri kenduri kesyukuran keluarga di Kuala Terengganu. Tetapi tidak menyangka Khairil keluar berkelah dengan rakan-rakannya.
"Saya dan isteri bertolak ke Kuala Terengganu dan tidak menyangka dia pergi berkelah bersama rakannya di situ.
"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada seornag rakan yang memaklumkan anak saya lemas di pantai itu," katanya.
Dalam perkembangan terkini, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat pertama dari tiga mangsa lemas berkenaan pada jam 4.30 pagi tadi.
Mayat Shahir Aqil ditemui pada jarak 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai, dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR masih diteruskan sejak jam 7 pagi tadi dan diperluaskan sehingga dua kilometer. Operasi itu turut dibantu oleh polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2o6Rm5n
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment