Gara-gara tindakan kurang cerdik seorang lelaki berusia 23 tahun mengamuk selepas permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan tidak diluluskan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah tidak membenarkan ibu bersalin ditemani individu lain di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, berkuat kuasa sejak 26 Ogos lalu.
Terdahulu, notis mengenai larangan itu tersebar di media sosial, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai yang mendakwa tindakan lelaki terbabit menyebabkan mereka tidak dapat membawa peneman.
Pengarah JKN Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas lelaki terbabit bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin serta tidak mengendahkan arahan menunggu di luar wad selepas insiden itu berlaku pada Sabtu lalu.
Mengulas mengenai permohonan pasangan berkenaan, beliau menjelaskan pihak hospital membuat keputusan itu selepas mendapati ibu berkenaan tidak mempunyai indikasi untuk bersalin secara pembedahan.
"Susulan itu, HSB mengambil tindakan memberhentikan sementara kebenaran menemani isteri bersalin untuk menyemak semula prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin supaya kejadian sebegini tidak berulang.
"Pihak hospital juga membuat laporan polis berhubung kejadian dan lelaki berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenal pasti sebarang masalah yang menyebabkan dia bertindak sedemikian," katanya.
Difahamkan, wanita berusia 24 tahun itu datang ke HSB pada jam 8.27 malam Jumaat lalu, sebelum berlaku kekecohan di wad memabitkan suaminya pada jam 1.15 pagi keesokkannya.
Wanita itu bagaimanapun selamat melahirkan bayi keduanya secara normal dan mereka telah dibenarkan pulang.
"Sehubungan itu saya ingin menasihatkan ahli keluarga kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital atau klinik supaya mengawal diri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berulang.
"Kerjasama serta bantuan semua pihak adalah perlu bagi pihak kami untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat semua pesakit," katanya.
from The Reporter https://ift.tt/2PeWvDO
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment