"Saya tiada pilihan selain terpaksa memohon bantuan rumah daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tempat berteduh," demikian luahan penyanyi veteran, Uji Rashid atau nama sebenar, Fuziah Haroun Al Rashid.
Semalam, beritanya diberi 'kelulusan khas' untuk mendapat bantuan (menepati syarat) PPR oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, viral dan menjadi bualan hangat netizen di media sosial.
Dalam status yang dimuat naik oleh Tan Sri Noh Omar berkata, Uji dan keluarganya diminta keluar dari rumah sewa di Ampang atas sebab yang menyedihkan.
Bagaimanapun, Uji berasa sedih apabila mengetahui beritanya diusir dari rumah sewa itu viral di media sosial, sedangkan mereka sekeluarga belum lagi diusir seperti yang dilaporkan.
"Saya, anak dan cucu belum lagi kena usir. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya merasakan tidak mampu menyewa rumah dengan bayaran tinggi. Saya berpijak di bumi nyata, saya harus mencari rumah yang mampu milik.
"Diakui sewa rumah pernah tertunggak ketika Cico jatuh sakit tahun lalu. Namun saya berusaha melunaskannya kerana tidak mahu kena halau.
"Duit simpanan banyak dikeluarkan untuk rawatan Cico. Jadi, kadang kala saya tidak cukup duit untuk membawa sewa," katanya yang juga menambah keadaan Cico yang agak teruk dan memerlukan perhatian.
Keadaan itu juga menyebabkan Uji tepaksa menolak tawaran keraja bagi menumpukan perhatian kepada satu-satunya zuriatnya.
"Kesusahan saya, hanya Tuhan saja yang tahu. Tidak sampai hati meninggalkan anak yang menderita sakit. Saya masih berulang alik ke hospital menemani Cico menjalani pelbagai terapi dan rawatan setiap hari.
"Cico semakin sihat tetapi dia masih tidak boleh bercakap, menulis mahupun membaca. Saya terpaksa menjaganya seperti anak kecil," katanya.
Uji bagaimanapun bersyukur Tan Sri Noh Omar memberi kelulusan khas kepada permohonannya dengan segera dan juga menjelaskan bahawa dia telah berusaha untuk membuat permohonan bantuan rumah PPR itu sejak beberapa bulan lalu tanpa bantuan mana-mana persatuan.
"Sebenarnya, saya sudah membuat permohonan rumah PPR sejak beberapa bulan lalu. Saya berusaha sendiri tanpa bantuan mana-mana persatuan. Saya turun naik pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali.
"Dengan bantuan seorang rakan yang juga kenalan baik Noh, permohonan saya diluluskan segera. Usaha saya untuk mendapatkan rumah tidak melalui mana-mana persatuan.
"Saya mahu berpindah segera kerana tidak mampu lagi membayar sewa rumah dengan harga tinggi. Insya-Allah saya akan berpindah ke rumah PPR dalam masa terdekat.
"Noh memberi pilihan beberapa kawasan di sekitar Puchong dan Jinjang. Beliau juga meminta saya melihat lokasinya terlebih dulu sebelum membuat keputusan," katanya.
Sumber: Berita Harian
BERITA BERKAITAN:
from The Reporter http://ift.tt/2tZp3M7
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment