PERINGATAN: Kisah-kisah seram yang dikongsikan di The Reporter adalah untuk bacaan suka-suka sahaja. Bagi mereka yang lemah semangat adalah tidak digalakkan untuk membaca kerana bimbang ia boleh mengganggu emosi dan mental anda.
NAMA aku Sham, baru grad dan dapat tawaran kerja di Selangor. Sama dengan enam orang kawan-kawan aku, tetapi semua bekerja di syarikat berlainan. Cuma aku dengan seorang kawan ini, Said, yang kerja di satu syarikat. Kitorang seramai tujuh orang bersetuju untuk tinggal di satu rumah sewa.
Syarikat tempat aku bekerja ini baru saja dua minggu ditubuhkan. Ini syarikat abang kepada Said sebenarnya. Said ini pula baik dengan aku dan disebabkan itulah dia tawarkan aku kerja bersama dengan dia.
Aku mula bekerja dengan tiga orang yang lain. Dua daripadanya ialah pereka grafik dan yang seorang lagi Nora sebagai kerani dan dia satu-satunya perempuan dalam syarikat tempat kami bekerja ini.
Jumlah keseluruhan kakitangan syarikat ada enam orang termasuk majikan. Pejabat kitorang setingkat saja, di tingkat dua bangunan pejabat. Di tingkat bawah ada restoran. Di tingkat tiga, empat dan lima adalah pejabat syarikat-syarikat lain.
Sebelum tingkat dua dijadikan sebagai pejabat syarikat kitorang, ianya telah lama ditinggalkan kosog. Tak tahu apa sebabnya kosong. Memandangkan harga sewa bulanannya agak murah, boss pun bersetuju untuk ambil tingkat ini. Rupa-rupanya ada penghuni lain.
September 2009, sudah dua bulan bekerja dan kami bertujuh di rumah sewa ini memang bising dengan cerita kerja masing-masing. Masuk bulan ketiga bekerja, masihg-masing sudah berpakat nak berkongsi cerita-cerita misteri di tempat kerja.
Jadi, satu malam Sabtu itu kitorang berkumpul, kecuali Said yang telah pulang ke kampung. Aku siap-siap kata nak jadi orang yang terakhir bercerita. Sebenarnya pejabat aku itu walaupun sudah tiga bulan duduk, tiada apa-apa yang pelik berlaku, apatah lagi kisah seram langsung tiada. Tetapi disebabkan diorang nak bercerita bagai nak rak akan perihal mistik pejabat masing-masing, aku pun tak naklah ketinggalan. Jadi aku buat keputusan nak reka cerita, kiranya berbohong.
Cerita dari kawan-kawan aku semuanya tidaklah menakutkan sangat pun. Tiba giliran aku, aku pun ceritalah dan lebih kurang beginilah cerita bohong aku:
"Boss kitorang ni sempoi orangnya sebab kitorang semua dapat PC yang power-power. Kiranya nak main game latest itu memang bestlah. Boss benarkan kitorang install dan main game, asalkan kerja untuk hari itu sudah disiapkan. Kalau dah siap kerja, mainlah sampai esok pun tak ada masalah.
"Satu malam itu aku duduk di office seorang diri. Yang lain sudah balik pada jam enam petang tadi. Aku leka bermain game sampai tak sedar dah masuk jam 12 tengah malam. Masa itu aku dah plan nak balik jam 12.30 malam. Habiskan sikit saja lagi game tu.
"Dalam tengah bermain game itu, tekak terasa haus dan cakap seorang diri "Hauslah pula. Nak buat milolah". Tetapi cakap saja lebih, aku tak bergerak pun dari tempat duduk. Sedar-sedar dah jam 12.45 malam.
"Alamak! Aku pun berhenti bermain game, nak balik. Ketika aku tengah menunggu PC shutdown, tiba-tiba aku terdengar bunyi datang dari pantri.
"Pantri di office aku ni macam bilik. Nak masuk kena buka pintu. Aku dengarlah dari dalam pantri itu sebab masa itu sunyi dan memang jelas kedengaran bunyinya. Bunyi orang buat air. Dengar bunyi dia tuang air dalam cawan, kemudian dikacau-kacau dengan sudu.
"Aku cuak dan terus buka pintu pantri. Aku ternampak seorang perempuan berambut panjang sampai ke lantai, tak berkaki, terapung-apung, tangannya sedang mengacau air membuat milo yang aku kata nak buat tadi.
"Apa lagi?? Aku pun buka langkah seribu!" begitulah cerita bohong aku, puas hati aku malam itu sebab cerita aku yang paling best. Namun cerita itu akhirnya memakan diri.
Lebih kurang seminggu selepas aku menyampaikan cerita bohong itu, akhirnya ia telah menjadi kenyataan.
Hari itu Jumaat, malam. Aku bermain game sampai tak sedar jam dah 12.30 malam. Said pula dah balik awal dalam jam 10 malam. Bila aku perasan dah jam 12.30 malam, aku pun bersiap-siap nak balik sebabnya aku teringat cerita bohong aku itu semula. Bimbang cerita iut menjadi kenyataan. Mau terkencing aku di situ juga.
Bila sudah habis mengemas meja, tiba-tiba aku terdengar bunyi orang buat air di pantri. Sebijik sama seperti cerita bohong aku! Aku dah gabra, memang aku tak nak buka pintu pantri itu. Takut jika betul-betul perempuan ada di dalamnya.
Aku terus menuju ke pintu pejabat dan kunci. Selepas itu aku segera menuruni tangga. Memang jantung aku dah berdebar-debar.
Masa kalut nak turun itu, terjumpa pula si Said. Eh? Tadi dah balik?
Dia tegur aku, "Nak balik ke weh?". Aku jawab tidak dan bertanya kepada dia pula kenapa datang?
"Tinggal barang, nak ambil sat. Teman aku," balas Said.
Aku pun dengan berat hati nak mengikut Said naik ke bilik pejabat dia. Memandangkan aku memang tengah pegang kunci, aku pun tolonglah bukakan pintu. Tetapi aku tak nak masuk dan suruh Said saja yang masuk sambil berpesan kepada dia agar tidak masuk ke bilik pantri. Said mengangguk dan aku pun tunggu di luar pejabat.
Selepas 5 minit, 10 minit, 15 minit, Said tak keluar-keluar. Alamak, dah jadi apa pula pada kawan aku seorang ini? Aku intai, pintu depan itu pintu kaca, jadi boleh nampak bahagian dalam.
Office gelap saja, Said tak buka lampu ke? Aku keluar semula dan gapai telefon untuk menghubungi Said. Takut punya pasal, aku tak nak masuk ke dalam pejabat untuk mencari dia.
Said jawab panggilan aku tetapi suara dia seperti baru bangun dari tidur. Aku dah mula rasa lain, tanya kenapa dia lama sangat. Tetapi dia tidak faham dan aku rasa lain sangat dah. Aku tanya dia di mana, Said kata dia ada di rumah, dah tidur pun. Aku kata jangan main-main dan said terus serahkan telefon kepada housemate kitorang dan mengesahkan Said ada di rumah.
Aku dah cuak sangat-sangat dah. Aku tamatkan panggilan tanpa berkata apa-apa. Perlahan-lahan aku tutup pintu pejabat dan kunci. Kemudian aku turun tangga tetapi kaki pula dah longgar. Alamak! Minta-mintalah Said palsu itu tak keluar. Aku tak dapat lari pun, memang dah menggigil habis.
Syukur aku sampai ke kereta aku. Aku pergi ke kedai mamak berhampiran. Nasib baik ramai orang, aku tenangkan diri aku. Keluar minum teh sekejap. Masa itu memang betul-betul ramai orang dan perasaan takut aku tadi dah kurang sikit. Aku habiskan masa lebih kurang sejam di kedai itu sehingga aku betul-betul tenang, barulah pulang ke rumah.
Sampai di rumah, aku terus tidur. Keesokan harinya aku demam. Tetapi masih gagah lagi nak cerita kepada semua housemate mengenai kisah yang terjadi pada aku malam tadi. Sudah tentu aku tak beritahu diorang yang kisah yang sebelum ini adalah kisah bohong semata-mata.
Said pula macam percaya tak percaya dengan cerita aku itu.
Hari Isnin, pergi kerja. Sampai di pejabat saja, si Nora dah membebel kenapa ada air milo tak minum ditinggalkan di pantri. Habis satu pantri dipenuhi bau milo basi.
Aku pergi basuh gelas milo itu. Tetapi sebelum itu aku tunjuk pada Said sebagai bukti... bersambung.
from The Reporter http://ift.tt/2I8GFYz
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment