Seringkali melihat golongan penunggang motosikal memakai jaket dengan cara yang salah dan tidak kemas, tanpa menyedari kelalaian mereka itu boleh mengundang maut atau kecelakaan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sama ada jaket biasa atau pakaian hujan, kedua-duanya perlu dipakai mengikut cara yang sepatutnya agar tidak meragut nyawa penunggangnya sendiri di kemudian hari. Seperti yang diceritakan oleh saudara Zairul Eizam, kejadian yang menimpa arwah pelajar senior sekolahnya masih lagi terngiang-ngiang di kepala.
TERNGIANG-ngiang sehingga ke hari ini. Kepada para penunggang motosikal, saya mohon bantuan kalian boleh?
Sejak 18 hari kebelakangan ini, saya melihat terdapat 63 penunggang motosikal memakai baju hujan atau jaket dengan tidak kemas (rujuk gambar). Saya juga penunggang motosikal seperti kalian. Setiap kali memanaskan enjin motosikal, kebiasaannya saya akan memakai baju hujan sebelum saya pakai topi keledar. Ianya disebabkan beberapa perkara:
- Siap sedia andai kata cuaca hujan
- Elakkan baju/uniform kerja berbau asap
- Sejuk, terutamanya keluar awal pagi.
Sepanjang perjalanan saya dari rumah ke tempat kerja dan begitu sebaliknya mengambil jarak 68 kilometer. Apa yang saya perhatikan, ramai penunggang motosikal memakai jaket atau baju hujan dengan tidak kemas. Baik lalu di sebelah mahupun berhenti di lampu isyarat.
Saya faham kalian ingin cepat pergi kerja atau balik ke rumah dan saya juga faham ajal maut di tangan Tuhan. Tetapi beginilah, teringat masa saya balik dari sekolah menengah. Heboh mengenai cerita seorang pelajar senior meninggal dunia akibat dari pemakaian jaket yang tidak kemas.
Punca kejadian, jaket yang dipakainya mengibas-ngibas lalu tersangkut di sebatang cangkuk kecil pada sebuah lori simen.
Bukan nak cerita kejadian ngeri, tetapi itu kenyataan. Arwah ketika itu dikatakan mahu memotong lori simen dan tak semena-mena jaketnya tersangkut pada lori lalu digilis dek lori simen berkenaan. Kejadian itu masih terngiang-ngiang di kepala saya sehingga ke hari ini.
Saya kongsikan perkarai ni kerana ramai penunggang motosikal yang rajin celah mecelah. Adakalanya kita tidak perasan akibat pemakaian jaket yang tidak kemas boleh menyebabkan jaket tersangkut pada cermin sisi kereta atau handle motosikal.
Di tempat kerja, Alhamdulillah saya berjaya memujuk rakan sepejabat untuk memakai jaket dengan kemas. Syukur mereka mendengar kata dan setuju.
Saya juga pernah dua kali menegur penunggang di hentian lampu isyarat. Pertama, di awal pagi dan kedua pada lewat petang.
Situasi pertama begini. Masa itu awal pagi dan saya berhenti di sebelah motosikal lain. Perlahan-lahan saya beri salam dan lalu saya katakan begini kepada lelaki berkenaan.
"Bang, minta maaf. Saya mohon abang pakai jaket dengan kemas. Pernah berlaku di mana senior sekolah saya meninggal dunia sebab jaketnya tersangkut pada lori simen."
Terkedu mendengar cerita saya, lelaki itu lantas memakai jaketnya dengan kemas.
Situasi kedua di mana berlaku pada lewat petang ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. Saya juga buat perkara yang sama seperti situasi pertama. Tetapi pemuda ini memandang saya dari atas bawah dan matanya memandang tepat ke arah saya. Malah balasan yang saya dapat adalah,
"Innalillah."
Lelaki berkenaan terus berlalu pergi tanpa mengambil sebarang tindakan untuk memperbetulkan jaketnya dan saya melihat sahaja jaketnya mengibas-ngibas dek angin lalu membawa dirinya.
Saya memohon kepada semua agar kalian yang membaca perkongsian saya ini faham dengan apa yang saya maksudkan. Semoga kalian dipermudahkan segala urusan dan tugasa.
Sumber: Zairul Eizam
from The Reporter http://ift.tt/2FkggWb
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment