Gara-gara memuat naik video kecekapan menunggang motosikal Yamaha RX-Z tanpa memakai topi keledar di Instagram, seorang wanita dikenakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, perbuatan wanita itu jelas sekali melanggar peraturan jalan raya iaitu tidak memakai topi keledar, selain tidak mempamerkan nombor pendaftaran di hadapan motosikal.
Difahamkan, video itu dirakam di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun baru-baru ini. Video viral itu mendapat perhatian pihak JPJ Terengganu yang kemudian memanggil wanita itu untuk disoal siasat mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari RM300 dan tidak melebihi RM3,000.
Instafamous berasal dari Dungun itu mengaku bersalah di atas kesilapannya. Pun begitu, pihak JPJ Terengganu tidak berkompromi dan mengenakan saman sebanyak RM370. Malah, JPJ Terengganu tetap akan membawa kes itu ke Mahkamah Majistret Dungun.
"Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai content di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan.
"Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan.
"Walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan," katanya yang juga memaklumkan pihaknya mempunyai cara tersendiri untuk memantau kesalahan yang dilakukan pegguna jalan raya di media sosial.
Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS
from The Reporter https://ift.tt/3bWQzhd
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment