Minggu lalu ketika media sosial dihebohkan dengan isu instafamous berkongsi cara mendapatkan kebenaran untuk merentas negeri dengan menggunakan alasan yang tidak wajar sehingga dikecam teruk, netizen turut membangkitkan isu sama membabitkan pasangan selebriti yang merentas negeri sehingga ke Sabah.
Risteena dan Isa Khan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 12 Mac 2021, baru-baru ini memuat naik gambar berbulan madu di Sabah di akaun media sosial, menimbulkan persoalan bagaimana mereka boleh merentas sejauh itu.
Sedangkan Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan merentas negeri masih lagi dikekalkan sama ada di kawasan PKPP mahupun PKPB bagi mengelakkan penularan wabak penyakit yang berbahaya itu. Larangan itu dikenakan terhadap semua termasuk golongan individu ternama, menteri dan ahli politik.
Risteena kemudian tampil memberi penjelasan melalui akaun Instagramnya yang menjelaskan dia dan suaminya pergi ke Sabah atas urusan kerja dan telah mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.
"Haih, artikel yang keluar pun mengundang salah faham betul. Kami di Sabah ada urusan kerja dan telah dapatkan surat merentas untuk tujuan kerja.
"Saya yakin pihak polis lebih arif. Jadi saya fikir tak perlu post tentang kerja di IG saya hanya untuk puaskan hati semua orang. Saya hanya share apa yang saya nak share saja di IG.
"Harap semua tidak membuat spekulasi yang tidak betul," tulisnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung viral yang membabitkan pasangan selebriti itu.
Semakan awal mendapati, pihaknya menerima permohonan rentas negeri ke Sabah atas urusan perniagaan daripada suami selebriti berkenaan di Balai Polis Setapak pada jam 5 petang, 20 Mac 2021.
"Permohon ada mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat. Berdasarkan dokumen itu, polis meluluskan permohonan rentas negeri yang bermula pada 21 hingga 25 Mac.
"Bagaimanapun, gambar lelaki berkenaan bersama isterinya kemudian viral di media sosial. Pasangan itu dikatakan pergi berbulan madu di kawasan peranginan dan mengakibatkan orang ramai mempertikaikan bagaimana mereka mendapat kebenaran rentas negeri ke Sabah," katanya.
Pasangan selebriti itu dikatakan masih berada di Sabah dan akan dipanggil untuk memberi keterangan sebaik saja mereka kembali ke Semenanjung.
Sekiranya pasangan itu didapati memberi keterangan palsu untuk merentas negeri, mereka akan kenakan tindakan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sumber: Harian Metro, Lobak Merah, IG Risteena
from The Reporter https://ift.tt/2PigYwW
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment