Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar di Sungai Batu, di sini, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Chan Yang Wai, 20, manakala yang cedera dikenali sebagai Chia Kah Lok berumur 18 tahun.
Ketua Jabatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, kereta Toyota Vios yang dinaiki mangsa dari arah Jalan Kepong menghala ke Bulatan Kepong dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Pemandu kereta mati di tempat kejadian manakala penumpang hadapan berjaya diselamatkan orang awam. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan lelaki yang cedera dirawat di hospital yang sama,” katanya kepada Bernama.
Zulkefly berkata kedua-dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap pusat gerakan operasi bomba Kuala Lumpur berkata pihaknya mengerahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dan BBP Sentul dengan 20 anggota bomba ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar dari kereta pada 11.58 malam,” katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2H4BAFm
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment