Seorang lelaki separuh usia ditemui mati gantung diri di sebatang pokok di Kepulauan Meranti, Indonesia, yang dipercayai membunuh diri kerana kemurungan setelah bekas isteri menolak hasratnya untuk rujuk semula.
Mangsa yang berasal dari Riau itu ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa tergantung di sebatang pokok pada Selasa, 20 Oktober 2020.
Polis percaya, mangsa, Suwandi atau Buntat, 48, bertindak menamatkan riwayatnya sendiri kerana kemurungan berdasarkan keterangan dari bekas isterinya, Sadiah, yang sudah empat tahun bercerai.
Ketua Polis Daerah Kepulauan Meranti, Eko Wimpiyanto Hardjito berkata, siasatan awal mendapati, Sabtu, 17 Oktober 2020, mangsa sempat datang bertemu dengan Sadiah untuk memujuknya kembali bersama. Tetapi Sadiah menolak hasrat bekas suaminya itu.
Tindakan Sadiah membuatkan Suwandi kecewa dan sempat mengasari bekas isterinya itu dengan menampar wajah perempuan itu sebanyak satu kali.
Isnin, 19 Oktober 2020, anak kandung mangsa, Liza Fazrila ketika bangun dari tidur ternampak pintu di bahagian belakang rumah dalam keadaan tidak berkunci lalu memeriksa ke bilik bapanya dan menemui telefon bimbit serta dompet bapanya yang diletakkan di atas tempat tidur.
Liza bersama keluarga dan penduduk kampung kemudian melakukan pencarian sehingga ke waktu malam tetapi gagal menemui bapanya.
Keesokan hari, Selasa, 20 Oktober 2020, usaha pencarian disambung semula dan kira-kira pada jam 8 pagi Suwandi ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak bernyawa tergantung di sebatang pokok, di kawasan kebun.
Polis kemudian datang ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa. Mayat Suwandi diturunkan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, pihak keluarga meminta mayat Suwandi tidak dibedah siasat.
Jenazah mangsa telah dikembalikan dan keluarganya redha dengan kejadian yang berlaku.
Sumber: Agensi
from The Reporter https://ift.tt/34qSCX6
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment