Home » , » Khalid Jaafar : Sampai Bila PKR & Amanah Mahu Jadi Boneka DAP?

Khalid Jaafar : Sampai Bila PKR & Amanah Mahu Jadi Boneka DAP?

shamsulazlan | 07:06 | 0 comments

SEBELUM Pakatan Rakyat berkubur berlaku perdebatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR): siapakah rakan sebenar PKR? DAP atau Pas?

Sebagai sebuah parti yang duduk di tengah, jambatan kepada Pas dengan DAP, PKR tersepit. Isu negara Islam dan hudud sering menyebabkan Pas menghunus pedang dan DAP menimbang-nimbang tombak.

DAP terang-terangan menolak dengan agresif hudud. Cara DAP memainkan isu tersebut melukai perasaan ramai tokoh Melayu dalam PKR. Mereka bukan sekadar takut dokongan masyarakat Melayu terhakis. Mereka secara jujur tidak boleh menolak hudud kerana ia adalah sebahagian daripada Islam. Tetapi mereka beranggapan hudud bukan keutamaan dan mereka menggunakan maqasid syariah dan fiqh awlawiyyat. Hanya Melayu Bangsar liberal yang menolak hudud.

Pemimpin-pemimpin PKR letih dan kepayahan berhadapan dengan isu tersebut. Ia seperti jembalang yang bagaimana ditikam dan dipancung sekalipun tetap tidak mahu mati.

Maka pada suatu malam, Majlis Pimpinan Pusat bermesyuarat dan perkara itu dibincangkan. Mereka mahu memegang lembu pada tanduknya.

Siapakah yang mahu dijadikan rakan sehidup semati PKR? Roket atau bulan? Saya lihat ramai bukan Melayu dan juga Melayu berpihak kepada DAP.

Melihat keadaan itu saya memberanikan diri untuk menongkah arus. “Yang pertama dalam politik adalah demografi. Bagaimana kita mahu menjadikan DAP sebagai rakan lebih utama daripada Pas kalau DAP sebuah parti yang sedang menguncup?”

Ramai saya lihat seperti cicak makan kapur. Kenapa tidak, DAP ketika itu parti terkuat. Pas pula yang paling kecil. Kenapa pula yang lemah mahu dijadikan rakan utama?

Saya memohon bantuan seorang ahli statistik daripada Universiti Malaya untuk membuat unjuran perkembangan demografi Malaysia sehingga tahun 2040. Kenapa 2040? Kerana sekitar dekad itulah pemimpin-pemimpin muda PKR seperti Nurul Izzah, Shamsul Iskandar, Amirudin Shari, Afif Bahardin, Sim Tze Tzin, Chang Lih Kang, Fahmi Fadzil berada di tahap paling mampan dalam kehidupan. Mereka perlu berdepan dengan realiti demografi tersebut.

Banci 2010 menunjukkan orang Melayu dan bumiputera membentuk 67.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, Cina 24.5 peratus, India 7.3 peratus dan Lain-lain 0.9 peratus.

Unjuran Jabatan Perangkaan untuk 2040 pula menunjukkan orang Melayu dan bumiputera merangkumi 72.1 peratus (meningkat 4.8 peratus), Cina 20 peratus (menurun 4.5 peratus), India 6.4 peratus (menurun 0.9 peratus), Lain-lain 1.5 peratus (meningkat 0.6 peratus)

Perubahan komposisi dari tahun ke tahun itu kuat dipengaruhi kadar jumlah kesuburan Cina dan India yang telah lama jatuh di bawah kesuburan paras penggantian (replacement level fertility) sejak tahun 2005 manakala kadar jumlah kesuburan Melayu setakat tahun 2016 masih lagi pada kadar 2.5.

Dalam beberapa mesyuarat MPP PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sering mengulangi nasihat Allahyarham Tun Ghazali Shafie kepadanya, ‘politics is a marathon’ bukan lari pecut.

Semua ahli Parlimen muda yang saya sebutkan tadi sudah memasuki maraton untuk sampai ke 2040 dan selanjutnya di mana tahap sokongan DAP terus mengecil dari tahun ke tahun. Setia

Faktor demografi itu juga merupakan asas mengapa Pakatan Harapan tidak boleh mampan. PH tidak akan berjaya berdepan dengan realiti demografi.

DAP pula bukanlah rakan kongsi yang setia. Barisan Alternatif (PKR-Pas-DAP) yang dibentuk untuk PRU 1999 berkecai apabila DAP meninggalkan gabungan itu selepas PRU 2004.

Selepas PRU 2008, DAP kembali dan membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan Pas. Namun DAP tidak senang dengan kedudukan dominan Melayu dalam Pakatan Rakyat dan berusaha untuk menyingkirkan Pas dan membidani kelahiran Amanah.

Dalam satu seminar di Batu Pahat, saya menimbulkan keperluan etika gabungan sebagai prasyarat untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Yang pertama dalam etika tersebut adalah anggota gabungan tidak campur tangan dalam persoalan dalaman rakan gabungan. Ini bukan sahaja dilakukan oleh DAP dalam Pakatan Rakyat, bahkan diteruskan dalam Pakatan Harapan. Bagaimanapun, bukan sahaja DAP mengkritik dasar-dasar Bersatu, bahkan ahli Parlimen seperti Charles Santiago mengkritik Perdana Menteri secara terbuka.

Jelas DAP merupakan tumit Achilles kepada Pakatan Harapan. Mereka tahu Setiausaha Agungnya tidak boleh menjadi Perdana Menteri tetapi mereka meletakkan partinya sebagai kingmaker dan orang seperti Tony Pua menjadi grey eminence – orang di belakang tabir yang menentukan dasar dan hala tuju kewangan dan ekonomi negara.

Anwar senantiasa akan mempertahankan DAP dan menuduh rasis mereka yang mengkritik DAP. Bahkan dalam perundingan kerusi pilihan raya, Anwar akan mengutamakan DAP daripada partinya sendiri. DAP tidak membenarkan tokoh Cina dalam PKR muncul yang boleh menyaingi dominasi DAP dalam kalangan masyarakat Cina. Ingat apa yang terjadi pada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang menyertai PKR? Ini merupakan salah satu punca pertembungan tajam antara Anwar dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yakin tokoh-tokoh Cina dalam PKR lebih sederhana sikap mereka dan mampu menyaingi monopoli DAP dalam masyarakat Cina.

Bagi Anwar, yang penting adalah sokongan padu DAP dalam agendanya untuk menjadi Perdana Menteri. Bagi DAP pula, Anwar merupakan Melayu yang tepat untuk agenda mereka sebagai kingmaker dan grey eminence.

The post Khalid Jaafar : Sampai Bila PKR & Amanah Mahu Jadi Boneka DAP? appeared first on The Coverage Edisi BM.



from The Coverage Edisi BM https://ift.tt/39va78C
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger