Home » , » 'Pocong' dah serik dan insaf, janji takkan buat lagi

'Pocong' dah serik dan insaf, janji takkan buat lagi

shamsulazlan | 06:46 | 0 comments

"Kami taubat dan insaf, serta tidak akan mengulangi lagi perbuatan ini," demikian kata Mohd Imran Mohammad, 16, yang ditahan polis Jumaat lalu kerana menyamar sebagai pocong untuk menakutkan orang ramai, lapor Harian Metro

Mohd Imran berkata, dia dan beberapa rakan pada awal hanya berniat mahu menakutkan budak-budak yang pulang dari mengaji, namun sebaliknya mereka ditahan polis yang meronda di Bukit Pinang, Alor Setar dan didenda melompat seperti hantu pocong. 

"Idea itu datang dari rakan saya, Muhammad Eyzani Johari (18), sebelum saya dibalut dengan selimut bersama dua lagi rakan yang lain, Muhammad Ramadhan Fitri Shuib (15), dan Nabil Asyraf Hussain (14). 

"Saya dibalut dengan selimut dan diikat seperti hantu pocong di tempat lepak kami di stor simpanan getah skrap di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang. Selesai dibalut, kami terus menaiki dua motosikal di mana Eyzani yang menunggang motosikal, sementara saya membonceng. 

"Kami kemudian terus meronda kampung dengan niat mahu menakutkan budak-budak yang pulang dari mengaji," katanya.

Selepas itu, Mohd Imran dan rakan-rakannya keluar ke jalan besar untuk mengusik rakan-rakan yang sedang melepak di Taman Pinang Jaya, tetapi hasrat mereka terpaksa dilupakan apabila mereka ditahan anggota polis yang sedang meronda dengan motosikal. 

"Saya kemudian dibawa ke pekan Bukit Pinang sebelum didenda kira-kira 15 minit melompat seperti hantu pocong. Perasaan ketika itu sangat malu, tambahan kami langsung tidak sempat mengusik sesiapa sepanjang menyamar itu," katanya. 


Menurut Mohd Imran, kejadian itu adalah pertama kali dilakukannya dan selepas didenda, mereka berempat dibawa ke Balai Polis Kepala Batas sebelum dibebaskan jam 1 pagi, setelah dinasihatkan pihak polis. 

"Polis menasihatkan kami agar tidak mengulangi perbuatan ini kerana ia membahayakan nyawa orang lain jika ada yang mengalami masalah sakit jantung. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini kerana sudah serik selepas ditahan polis," katanya. 



Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan membebaskan empat remaja berkenaan setelah mendapati mereka tiada niat untuk melakukan jenayah mencuri atau sebagainya.



from The Reporter http://ift.tt/2G3F4Cz
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger