Home » , » 'Fayyadh nak masuk syurga'

'Fayyadh nak masuk syurga'

shamsulazlan | 01:03 | 0 comments

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un. Perginya seorang anak syurga setelah puas bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi selepas disahkan diserang virus Meningitis with Shock Bronchopnemonia di bahagian otak pada pagi 22 Januari lalu.

Hilangnya suara anak yang dirindui, keletahnya meminta susu dan makanan kegemarannya. Sehingga ke saat ini, ibu bapanya masih terasa akan kehadiran si anak. Sungguh kami bersimpati dengan dugaan yang menimpa keluarga ini. Semoga keluarga Muhammad Fahdli tabah menghadapinya.

ASSALAMUALAIKUM semua sahabat, ahli syurga. Terima kasih banyak-banyak kepada sahabat-sahabat yang hdir di Masjid BTHO dan tanah perkuburan tempoh hari dan juga kepada yang telah mendoakan kami sekeluarga. Jasa anda memang tidak dapat kami balas dengan kata-kata. Semoga kalian semua dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Aminn.

Anak saya Muhammad 'Aisy Fayyadh boleh saya katakan seorang anak yang baik, rajin, sopan, alim, mendengar kata dan pandai berdikari. Dia baru saja masuk sekolah tadika Pasti empat tahun, selama tiga minggu ini 




Punca virus yang menyerang otak dia masih lagi dalam siasatan doktor. Nama penyakit dia dikenali sebagai Meningitis with Shock Bronchopnemonia, sejenis penyakit radang otak dan jangkitan virus di paru-paru. Virus itu merebak dari otak ke paru-paru dan terus ke jantung dengan sekejap. 

Pada mulanya dia mengadu sakit perut pada Jumaat malam, 19 Januari 2018 dan muka muntah-muntah pada hari Sabtu. Dia menjadi tidak larat untuk makan dan minum. Keadaannya itu berpanjangan sehingga ke hari Ahad. Tetapi muntahnya sudah berkurangan, mungkin sebab tiada makanan lagi yang hendak dimuntahkan. 

Tips: Jika kanak-kanak muntah berpanjangan tetapi tidak mengalami cirit birit, ada sesuatu yang tidak kena pada nerve system which is sangat berbahaya dan perlu terus dibawa berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak. 

Kami menyangka dia hampir pulih disebabkan kami telah pergi ke klinik pada Sabtu malam. Doktor beritahu cuma demam biasa dan perutnya masuk angin. Kami beri dia ubat yang kami dapat dari klinik tadi seperti biasa. 

Pada hari itu, dia cuba untuk tidur tetapi asyik terkejut dan tersentak semasa tidur. Kemudian mata dia terbeliak secara tiba-tiba. 

Perkara ini berulang berkali-kali sehingga dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Percakapan dia juga menjadi laju, berjalan pun dalam keadaan tidak stabil dan tidak larat serta menggigil. Kami menyangka dia dehydrated disebabkan tidak mahu makan dan minum.

Jadi pada malam Ahad, kami bawa dia pergi ke hospital serdang untuk menerima rawatan 'drip air' sebab nak kembalikan kandungan air dalam badannya normal. 

Dalam pada itu isteri saya menyedari mata dia menjadi juling dan tidak larat mahu berjalan sendiri. Dia menjadi lemah. Kejadian ini mula berlaku seamasa dia menerima 'drip air' tersebut. Kemudian doktor sahkan dia tiada apa-apa masalah, cuma demam biasa berdasarkan keputusan pemeriksaan darahnya. 

Doktor sahkan yang mata juling dan tidur tersentak-sentuk itu adalah perkara biasa semasa demam dan akan kembali pulih bila demam dan reda. Kemudian kami pun pulanglah ke rumah seperti biasa. Lega rasa hati sebab tak ada benda serius yang berlaku. Kami sampai di rumah pada jam lebih kurang tiga pagi. 

Seperti petang tadi, Fayyadh memang tidak dapat tidur dengan baik. Tetapi tiba-tiba pernafasan dia menjadi laju. Kami memang sudah rasa tidak sedap hati. Teringat doktor di HBKL memang terbaik untuk kanak-kanak. Terus kami pergi ke HBKL.

Kami sampai di HBKL pada jam lima pagi. Setelah sampai, kondisi Fayyadh semakin teruk dan dia memang tidak dapat berjalan langsung dan muntah-muntah lagi. Bila didukung, dia rasa macam nak jatuh dan gayat. Mata dia masih lagi juling, tetapi dia masih lagi boleh bercakap dengan kami tetapi dengan sebutan yang pantas.  

Bila dah masuk ke zon merah, doktor sahkan virus telah menyerang otak dia. Kemudian kami diminta keluar sebentar kerana nak beri fokus pada pasukan doktor yang merawatnya. Masa itu doktor kata nak tidurkan dia, bagi dia tenang. Masa ini kami rasa bersyukur sebab mungkin Fayyadh sempat untuk pulih seperti biasa. Tetapi keadaan menjadi lebih tegang apabil doktor memanggil kami semula untuk melihat keadaannya.

Rupa-rupanya dia telah dimasukkan ke bilik khas untuk buat CPR. Doktor beritahu denyutan jantung dia sudah lemah dan perlu dibuat CPR. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami pada ketika itu. Saya terus menghubungi ibu saya untuk memohon mendoakan Fayyadh. Waktu ini dah jam lapan pagi. 

Prosedur biasa, doktor akan buat CPR selama 30 minit sahaja. Kemudian mereka akan berhenti, kalau denyutan jantung masih tidak berubah dan mereka memang sudah tidak dapat melakukan apa-apa lagi.

Lebih kurang jam 8.40 pagi, doktor memanggil kami untuk berbincang dalam satu bilik. Mereka kata jantung Fayyadh betul-betul lemah. Tetapi saya meminta mereka sambung buat CPR lagi sebab saya tahu anak saya itu kuat.

Sepanjang doktor buat CPR secara bergilir-gilir dalam bilik kecemasan itu, kami tidak berhenti mendoakan dia. Memang kami berada dalam bilik itu menemani dia. Macam-macam yang kami cakap dengan dia untuk beri semangat kepada dia.

Alhamdulillah dapat semula degupan jantung Fayyadh. Masa ini lebih kurang jam sembilan pagi. Jadi, Fayyadh akan dipindahkan ke ICu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan dia pada masa itu masih lagi kritikal. Atas doa semua, Alhamdulillah jantung Fayyadh berdegup semula.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Ada yang mak saya beritahu, rakan di Jordon pun turut mendoakan. Masa ini dah ramai ahli keluarga kami sampai di wad kecemasan tersebut. Selepas hampir dua jam, semasa pemindahan katil ke ICU, tiba-tiba denyutan jantung Fayyadh mulai perlahan. Doktor buat CPR untuk kali kedua selama 30 minit. Akhirnya denyutan jantung dia tetap lemah.

Tepat jam 11.41 pagi, 22 Januari 2018, doktor berhenti buat CPR. Allahuakbar, Fayyadh sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Papa dan mama pun memang sudah tidak sanggup melihat Fayyadh kena push dada itu kuat-kuat.

Sepanjang berada di zon merah, kami berdua memang sentiasa temankan dia, dan berbisik pada dia.

"Fayyadh, papa dan mamam ada kat tepi Fayyadh ni. Fayyadh buatlah suka hati Fayyadh nak macam mana okey. Papa dan mama okey saja,"

Fayyadh sudah pandai mengucap tetapi kami tetap berbisik pada dia kalimah Allah dan Rasullullah dan didengarkan dengan surah Yassin sepanjang berada dalam bilik kecemasan itu. Tetapi Fayyadh telah memilih untuk pergi meninggalkan kami semua.

"Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon pada Mu, kuatkanlah hati aku dan isteri untuk menerima dugaan ini. Engkau sahajalah tempat kami bergantung dna ke Engkaulah kami kembali..."


Terima kasih banyak kepada semua yang mendoakan kami. Terima kasih tak terhingga kepada semua doktor yang terlibat. Ada doktor yang tidak dapat menahan sebak, mengalirkan air mata. Sungguh besar jasa kalian yang cuba menyelamatkan anak syurga ini. Tak terbalas jasa kalian. Semoga kalian juga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman kelak.

  • Doktor Aliyaa
  • Doktor Sangeeta
  • Doktor Zarif
  • Doktor Shafinaz
  • Bro Shafiq
  • Doktor Wong Yee Min
  • Dan ada lagi tiga-empat orang yang belum dikenalpasti lagi nama mereka. 
Fayyadh tunggu kami di depan pintu syurga nanti okey, inshaAllah nanti Fayyadh datang pickup papa dan mama. Tak puas lagi kami untuk menjaga dan membesarkan Fayyadh. Banyak dan besar harapan kami untuk Fayyadh di dunia fana ini.

Minggu lepas dia ada beritahu kami dalam kereta, "Fayyadh nak masuk syurga seorang-seorang. Fayyadh masuk syurga dulu. Papa, mama, adik jangan masuk lagi.."


Masa malam yang dia muntah di Hospital Serdang itu, mama dan Fayyadh pergi ke tandas untuk bersihkan diri. Mama letak Fayyadh di atas singki tetapi Fayyadh macam gayat nak jatuh. Jadi Fayyadh peluk mama dengan erat. Dalam pada itu, mama bertanya kepada Fayyadh.

"Fayyadh, ini nanti mama, papa, doktor akan tolong pulihkan Fayyadh. Tapi siapa yang pertama sekali akan tolong Fayyadh?"

Dengan keadaan yang tidak larat itu Fayyadh menggagahkan dirinya untuk menjawab, "Allah.."

Allahuakbar, walau sakit seperti itu, tengah berlawan dengan sakit, dia tetap boleh menjawab dengan baik.

Memang terkesan sangat dengan kehilangan dia. Sebab dia budak yang keletah, setiap gerak geri dia, apa yang dia lakukan semua tertinggal dalam ingatan memori keluarga dia dan orang-orang yang pernah berjumpa dengan dia. Dia memang seornag insan yang istimewa dan terpilih. Memang sangat merindui suara dia.

"Boleh papa? Bolehlah," katanya bila dia nak meminta sesuatu atau nak pergi ke mana-mana.


Bila saya hantar dia ke sekolah, sebelum turun dari motosikal dia kata, "Salam papa, janji, cap, sayang papa," katanya memeluk saya setiap kali perpisahan saya dan dia, dia akan buat begini. Tetapi Fayyadh tinggalkan saya tanpa sempat saya nak buat begini pada dia.

Sangat merindui suara dia meminta susu. "Papa, nak shushu. Papa nak shushu.." tetapi masa itu saya sibuk dengan handphone tak menghiraukan dia. Terkilan sangat rasa. Bila pergi kedai, dia nampak roti coklat, siap-siap dia letak atas kaunter. Bila Fayyadh nampak saya beli atau makan coklat, dia datang ke saya tersipu-sipu.

"Papa, nak one je. Eh silap-silap. Nak two jer. Bolehlah papa, nak two je," sebab mama dia memang tak bagi dia makan coklat sangat. Saya yang bagi. Dia memang pandai nak ambil peluang ini. Dengan saya sajalah dia dapat.

Bila dia dengar azan saja, dia cakap dengan mama dia. "Mama, dah azan. Solatlah.."

Kalau sempat saya balik rumah sebelum maghrib, saya beritahu dia. "Yadh, jom pergi surau cepat. Kalau tak, nanti papa tinggal," cepat-cepat dia kelam kabut tanya mama dia, "Mama cepatlah mama. Jubah mana? Jubah mana?"



Bila saya dan isteri sama-sama berbincang tentang sesuatu yang tidak sependapat, tiba-tiba dia datang. "Jangan gaduhlah mama papa," katanya. Padahal kami bertegang cerita tentang iPhone dan Samsung saja.

Dari Fayyadh tak tahu cara nak buka tv dalam kereta, sampailah dia diajar cara nak mainkan cerita Doraemon kesukaan dia. Cerita filem pemergian Doraemon dari hidup Nobita. Jadi bila masuk dalam kereta saja, dia terus buka untuk tontotan dia dan adik. Tetapi sekarang Fayyadh dah tak ada, kami asyik terasa akan kehadiran Fayyadh yang sedang tengok cerita Doraemon di belakang sambil tergelak-gelak.

Tetapi Allah lebih menyayangi dia dan Allah adalah sebaik perancang. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini Ya ALlah. Terima kasih kerana telah meminjamkan kami anak syurga ini selama tiga tahun lima bulan dua hari.

Dia selalu cakap, "Untunglah mama, untunglah papa.". Fayyadh lagi untung, Fayyadh kini sudah berada di taman syurga.

Anugerah terindah, Muhammad 'Aisy Fayyadh Bin Muhammad Fahdli

Sumber: Muhammad Fahdli Hj Kamil


from The Reporter http://ift.tt/2GxeWAg
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger