Warga Putrajaya akan dapat membeli ayam standard pada harga RM8.50 sekilogram, lebih rendah daripada harga siling RM9.40 sekarang, bermula 1 Ogos ini melalui program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah di semua pasar awam di Putrajaya.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bagi menjayakan inisiatif tersebut, sebuah pusat penyembelihan ayam diwujudkan di Presint 20 bagi membolehkan ayam disembelih di Putrajaya.
"Kami guna gudang sedia ada di kawasan itu (Presint 20) sebagai pusat penyembelihan," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 di sini hari ini.
Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah itu telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Labuan pada 14 Julai lepas, dengan menawarkan barangan keperluan asas dan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan, manakala di Labuan, program itu dilaksana melalui peruncit yang dikenal pasti Perbadanan Labuan.
Mengenai Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022, Shahidan berkata pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung berbanding 150,000 pada 2019 untuk menghadiri festival edisi ke-12 itu, bermula 29 Ogos hingga 4 Sept di Anjung Floria, Presint 4 di sini.
Bertemakan 'Floria Hebat' beliau berkata kira-kira 400,000 bunga dan tumbuhan pelbagai spesies dari dalam dan luar negara akan dipamerkan sepanjang penganjuran festival itu.
Katanya penganjuran festival itu bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai bandar raya pintar dalam taman yang menggabungkan elemen moden serta alam semula jadi dihiasi kepelbagaian flora yang berwarna-warni.
"Setelah dua tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19, penganjuran kali ini jelas mengembalikan keceriaan kerana festival ini ada peminatnya tersendiri," katanya.
Festival tahunan itu merupakan anjuran Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya ke-25 tahun dan sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3xcjAPT
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment