Susulan viral memo yang didakwa dikeluarkan oleh sebuah kilang di Kapar, pihak kilang berkenaan tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan memo tersebut yang melarang pekerja beragama Islam menunaikan ibadat solat ketika waktu bekerja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, wakil pejabatnya yang menghubungi kilang tersebut hari ini dan pihak kilang menafikan mengeluarkan memo tersebut.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia juga telah menjalankan siasatan selepas mengetahui isu itu tersebar. Hasil temubual secara rawak yang dilakukan dalam kalangan pekerja tempatan dan asing di kilang itu mendapati, mereka tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat atau diedarkan.
"Pekerja yang ditemubual beritahu pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat.
"Pekerja juga beritahu pihak syarikat beri kebebasan untuk tunaikan solat pada waktu bekerja selain beberapa ruang solat diwujudkan dalam kawasan kilang bagi memudahkan ibadat itu," katanya.
Selain itu, pihak syarikat juga membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran kilang walaupun waktu diperuntukkan untuk solat Jumaat hanya satu jam, tiada surat amaran ataupun arahan potongan gaji dikeluarkan jika pekerja lewat masuk kembali ke kilang disebabkan waktu solat bermula lewat.
Tambahnya, pekerja asing bukan beragama Islam akan ditugaskan untuk menjalankan operasi mesin secara bergilir-gilir ketika pekerja keluar untuk solat Jumaat.
Pengarah syarikat itu juga menafikan dakwaan itu dan menganggap ianya sabotaj dari pihak tertentu terhadap reputasi dan nama syarikat.
"Kilang itu memaklumkan pihak syarikat sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan toleransi dalam isu kebebasan beragama asalkan tidka menjejaskan kualiti dan produktiviti pekerja.
"Pihak syarikat telah membuat laporan polis hari ini bagi menafikan isu yang dilaporkan media. Tiada notis pematuhan dikeluarkan kepada syarikat itu.
"Kes ini selesai di peringkat aduan dan jabatan berpuas hati dengan hasil siasatan tiada larangan pihak syarikat kepada pekerja Islam tunaikan kewajipan mereka, malah pihak pengurusan atasan menafikan laporan media melalui laporan polis," katanya.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/2ZmTjf3
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment