Sabtu lalu, viral di media sosial video seorang bapa mengajar anak perempuannya mengucap dua kalimah syahadah selepas kereta yang dinaiki mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang persimpangan lampu isyarat berdekatan Jabatan Peguam Negara, Presint 4, Putrajaya, kereta Alza keluarga itu terbabit dalam kemalangan dengan kereta Audi.
Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nur Umairah Syakirah Rosdi, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Enam lagi mangsa iaitu ibu bapa dan tiga beradik berusia tiga hingga lapan tahun mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.50 malam (Sabtu). Adik bongsu dan bapa mangsa cedera, manakala ibu mangsa yang bekerja sebagai guru tadika patah kaki kiri dan tulang pinggul retak.
Kakak mangsa berusia lapan tahun koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala abangnya cedera di kepala dan patah kaki kiri.
Pemandu Audi tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun keretanya remuk teruk di bahagian hadapan.
"Siasatan awal mendapati, kereta dipandu bapa mangsa menuju ke Persiaran Timur, berlanggar dengan kereta Audi yang datang dari arah Jalan Tun Hussein di persimpangan lampu isyarat.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, punca kemalangan, pemandu Alza melanggar lampu merah.
"Pemandu terbabit telah ditahan dan diberi jaminan polis selepas siasatan selesai.
"Selain itu, pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap lelaki terbabit adalah negatif," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2GCbaqR
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment