Home » , » 'Isteri merangkak minta tolong, paha berlumuran darah' - Surirumah parah terkena serpihan jubin meletup selepas rice cooker disambar petir

'Isteri merangkak minta tolong, paha berlumuran darah' - Surirumah parah terkena serpihan jubin meletup selepas rice cooker disambar petir

shamsulazlan | 00:16 | 0 comments

Seorang suri rumah mengalami kecederaan parah pada bahagian paha kiri, lengan serta kaki kanan selepas terkena serpihan jubin yang meletup akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Rimau, Mukim Air Putih di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, mangsa, Maznah Awang Pa, 47, sedang memasak di bahagian dapur rumahnya untuk bersahur keesokan hari (hari ini).

Menurut suami mangsa, Azizan Mad Desa, 52, ketika isterinya berada berhampiran kabinet jubin, tiba-tiba berlaku panahan petir di bahagian belakang rumahnya lalu menyambar periuk nasi elektrik di atas kabinet jubin dan menyebabkan jubin itu meletup sehingga serpihannya mengenai isterinya.

“Ketika panahan petir itu, bekalan elektrik terputus, periuk nasi elektrik meletup dan keadaan tiba-tiba menjadi panik apabila terdengar suara isteri meminta tolong… selepas mencapai lampu suluh saya melihat dia sedang merangkak meminta tolong dan paha kirinya berlumuran darah.

“Panahan petir yang dipercayai memasuki dapur rumah turut menyebabkan sistem pendawaian elektrik keseluruhan rumahnya turut rosak dan terbakar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azizan berkata, kejadian ini menyebabkan dia kerugian hampir RM10,000 apabila peti sejuk dan televisyen yang baru dibeli bulan lepas serta beberapa perkakasan elektrik lain untuk menyambut perayaan Aidilfitri rosak.

Namun beliau bersyukur kerana dia dan empat lagi anggota keluarganya yang turut berada di dalam rumah termasuk seorang cucu berusia tujuh tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Isteri Azizan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Muhd Fairus Rosdi mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.46 malam tadi sebelum tiga anggotanya bergegas ke lokasi.

“Anggota yang tiba mendapati mangsa yang cedera berada di dalam rumah sebelum membawanya terus ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menasihat orang ramai agar berwaspada ketika mengguna peralatan elektrik terutama ketika cuaca hujan dan ribut serta sentiasa menanggalkan palam dari soket elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Sumber: Bernama


from The Reporter http://bit.ly/311bAji
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger