Home » , » Ibu bapa ajar anak berbohong, menipu, jatuhkan maruah orang, pentingkan diri di awal persekolahan

Ibu bapa ajar anak berbohong, menipu, jatuhkan maruah orang, pentingkan diri di awal persekolahan

shamsulazlan | 04:52 | 0 comments

Di awal hari persekolahan golongan murid Tahun Satu, pelbagai ragam, adegan mahupun drama air mata yang dapat disaksikan. Iyalah, ibu bapa mana yang tidak risau akan kemampuan anak mereka untuk survive di sekolah. Masing-masing mahu mengajar anak mereka mampu berdikari sendiri. 

Namun, ada segelintir ibu bapa yang bagaikan tidak faham bahasa bilamana mereka merampas hak, mementingkan diri sendiri, menganiaya murid-murid lain dan secara tidak langsungnya memberikan contoh kelakuan yang tidak baik kepada anak mereka sendiri. 

Seperti yang dikongsikan oleh Puan Siti Saleha Jaffar, terlalu banyak perkara yang 'dilanggar' oleh ibu bapa, termasuk mengingkari arahan guru. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sedangkan ibu bapa sepatutnya faham benar akan situasi ini dan bukannya golongan ibu bapa tidak pernah bersekolah sebelum ini. 

DRAMA REALITI DI SEKOLAH

Selama empat hari follow Rayqal, mengajar dan memantau cara membeli, mengajar menunggu mamy/abah ambil, mengajar naik turun van, inilah realiti yang terjadi di depan mata. 

1. Cikgu mengarahkan ibu bapa beredar dari tapak perhimpunan untuk meneruskan kelancaran aktiviti. Tindakan sesetengah ibu bapa mengabaikan arahan itu, malah berwefie dan memaksa anak-anak pose. 

Hakikat: Ibu bapa sendiri mengajar anak degil dan mengingkari arahan. Jadi anda mengharapkan cikgu untuk mendidik anak-anak anda tidak degil dan mengikut arahan?


2. Waktu anak rehat, ibu bapa mengambil tempat duduk murid lain untuk temankan anaknya sahaja makan. Maka murid-murid yang lain tersebut terpinga-pinga sambil memegang pinggan dan air sambil mata meliar mencari tempat duduk. Kawan terlanggar, habis mee dan air tumpah. Bayangkan kejadian itu berlaku pada anak kita sendiri. 

Hakikat: Ibu bapa sendiri mengajar anak menjadi seseorang individu yang mementingkan diri dan mengambil hak orang lain. 


3. Cikgu mengarahkan ibu bapa yang menunggu di hadapan kelas beredar, untuk memulakan sesi pembelajaran. Tetapi arahan cikgu diingkari, malah ada yang mengeluarkan smartphone sambil merakam gambar. 

Hakikat: Ibu bapa mengajar anak untuk tidak yakin dan tidak mempercayai seseorang yang menjalankan amanah. Juga mengajar anak tidak menghormati hak orang lain. 

4. Sambil beratur membeli buku dan membayar yuran, seorang bapa sambil memimpin anak berusia 4-5 tahun memotong barisan. 

"Cikgu, berapa lama nak beratur ni? Saya kejap lagi nak masuk kerja," katanya. 

Si anak kecil petah berkata-kata, "Papa kata cuti hari ni, nak bawa adik pergi tengok cerita Jumanji." Dan si kecil itu dijerkah oleh bapanya di khalayak ramai. 

Hakikat: Ibu bapa sendiri mengajar anak bercakap bohong, menipu, tidak sabar dan menjatuhkan maruah orang di hadapan orang lain adalah tidak salah. 

5. Ibu bapa beratur bersesak-sesak dengan murid lain membeli makanan untuk anaknya seorang dengan tujuan mengajar cara membeli di kantin. Maka drama berlangsung lebih kurang 5-7 minit di situ. Murid-murid lain di belakang masih ramai lagi.

Apabila masihg-masing dapat makanan, baru menyuap makanan sesuap dua, loceng berbunyi tanda waktu rehat telah berakhir. Maka si polos bangun sambil menoleh makanan yang tidak sempat dihabiskan dan berlalu untuk mencuci tangan. 

Hakikat: Ibu bapa mengajar anaknya cara mementingkan diri sendiri, mengambil hak orang lain dan tiada rasa belas kasihan pada orang lain. Apa salahnya buat role play jual beli di rumah?

6. Parking kenderaan dan van sekolah dipenuhi dengan kenderaan ibu bapa yang mahu mengambil anak. Di kejauhan, ternampak murid yang masih belum membiasakan diri menangis keseorangan mencari van yang terselindung di sebalik kenderaan ibu bapa lain. 

Hakikat: Ibu bapa mengajar anaknya mementingkan diri, tidak mempedulikan orang lain dan mengambil hak orang lain itu tidak menjadi satu kesalahan. 

Begitulah serba sedikit drama realiti yang berlaku di depan mata. Sedih, memang cukup sedih melihat betapa masyarakat sekarang semakin tenat adab, akhlak dan tingkah laku. Lebih sedih bila memikirkan sikap generasi akan datang dalam 10-20 tahun lagi, bagaimana hasil corakannya. 

Sedarlah wahai ibu bapa, di kala kita galak menyalahkan guru-guru di atas tingkah laku anak kita yang bukan seperti yang diharapkan, sebenarnya anak itu sendiri belajar dari ibu bapanya. Di kala kita galak memarahi guru-guru yang menghukum anak-anak kita atas kesalahannya, sebenarnya kita sendiri mencorakkan corakan hitam pada sisi hidup anak kita sendiri. 

Sebelum kita meletakkan sesuatu kesalahan anak kita pada orang lain, refleks diri dulu. Tanya pada diri sendiri apakah sudah cukup sempurna didikan kita pada anak kita? 

Guru yang sebenar-benar guru adalah ibu bapa sendiri dan guru di sekolah bertanggungjawab menggilapkan lagi potensi anak yang kadangkala ibu bapa terlepas pandang. 

Ingat hakikat ini walaupun pahit untuk diterima. Ibu bapa adalah cerminan anak-anak. Ibu bapalah sebenar-benarnya guru kepada anaknya. Jadi bertanggungjawablah, usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain. Kelak di sana terkaku kelu lidah untuk menjawab di hadapan Pencipta.



from The Reporter http://ift.tt/2m2xM9y
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger