Kes buli, pukul memukul, maki memaki dan yang sewaktu dengannya selalu viral di media sosial dan pengakhiran kejadian itu selalunya tidak cantik kerana yang bersalah tetap akan ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.
Namun, sekumpulan remaja perempuan di negeri pantai timur ini seakan-akan tidak pernah mempelajari kesilapan itu. Kini, mereka bakal menerima tindakan apabila video yang menunjukkan perbuatan tidak berotak mereka itu viral di media sosial.
Video berdurasi 45 saat itu menunjukkan, seorang remaja perempuan duduk di atas rumput dan dikelilingi sekumpulan wanita yang berusia sebaya dengannya, yang dipercayai turut disertai oleh seorang lelaki.
Tidak diketahui apa sebenarnya punca kejadian, namun mangsa ditolak sebelum disepak beberapa kali. Mangsa yang menyedari dirinya tidak mampu melawan, hanya mampu menahan sepakan bertubi-tubi dari dua orang suspek.
Dalam masa yang sama, kedengaran suara seorang remaja perempuan memprovok mangsa untuk melawan, tetapi tidak diendahkan.
Sementara itu, suara lelaki yang turut serta dalam kejadian itu meminta perakam untuk tidak merakam dan memuat naik video itu di media sosial. Malangnya, video itu telah pun tersebar meluas.
Mendapati video itu telah tersebar, perakam dikatakan telah mengeluarkan kenyataan meminta jasa baik semua pihak untuk memadamkan video tersebut kerana ramai yang tidak mengetahui cerita sebenar di sebalik video itu.
Tetapi netizen tidak berpuas hati kerana cara dan pendekatan yang diambil oleh sekumpulan remaja itu menyelesaikan masalah menggunakan kekerasan adalah melampau dan tidak boleh diterima akal.
Tidak diketahui sama ada mangsa telah membuat laporan polis atau sebaliknya. Netizen berharap pihak polis menyiasat video viral itu dan mengambil tindakan terhadap sekumpulan remaja perempuan dan lelaki yang jelas sekali melakukan banyak kesalahan termasuk melanggar SOP dan tiada penjarakan fizikal.
from The Reporter https://ift.tt/31InfoK
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment