Tiga lelaki ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan cermin kereta pecah dalam kejadian yang berlaku di Taman Permata, Hulu Kelang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.15 petang dan ianya bermula dari penunggang motosikal berusia 49 tahun dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu teksi yang memberhentikan kenderaannya secara mengejut.
Suspek kemudian menarik pemandu teksi itu keluar dan tercetus pertengkaran di antara mereka. Suspek kemudian pulang ke rumah mengambil sebatang besi yang dipercayai absober kereta dan kembali ke tempat kejadian untuk memecahkan cermin belakang teksi dan cermin bahagian pemandu kereta Proton Satria milik adik pemandu teksi.
Bengang dengan apa yang berlaku, pemandu teksi dan adiknya pergi ke rumah suspek yang berdekatan dengan lokasi kejadian. Suspek dipukul dan diugut oleh dua beradik terbabit.
Kedua-dua pihak membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis menahan pemandu teksi dan adiknya berusia 26 dan 25 tahun kerana mengugut serta mencederakan. Penunggang motosikal pula ditahan atas kesalahan mengkhianat.
Kesemua suspek dimohon reman selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua pihak berkenaan tinggal di kawasan perumahan yang sama dan pernah mempunyai masalah kejiranan sebelum ini.
Berdasarkan salinan laporan polis dari kedua-dua pihak, laporan yang dibuat oleh dua mangsa adalah sama dengan laporan berita di atas. Berbeza dengan laporan polis yang dibuat oleh suspek yang langsung tidak menyatakan kejadian memecahkan cermin kenderaan mangsa.
"Semasa saya sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, tiba-tiba sebuah teksi memberhentikan kenderaannya secara mengejut. Saya terus menegur pemandunya, namun dia tidak dapat menerima teguran saya dan terus mengugut mahu memukul saya.
"Setelah sampai di rumah, 10 minit kemudian saya mendapati lelaki yang mengugut saya berada di hadapan rumah saya bersama dengan tiga lelaki dipercayai rakannya.
"Saya terus keluar bagi menyelesaikan perkara tersebut, namun mereka berempat terus menyerang saya dengan memukul dan menendang pada bahagian muka dan badan. Mereka juga mencekik leher saya dengan kuat.
"Semasa kejadian, anak perempuan saya turut membantu meleraikan pergaduhan tersebut. Namun dia juga nyaris dipukul. Tidak lama kemudian, jiran-jiran di situ meleraikan pergaduhan tersebut dan mereka terus beredar.
"Disebabkan kejadian itu, saya mengalami bengkak di bahagian pipi kiri, pecah bibir dan sakit pada bahagian rusuk," tulisnya dalam laporan itu.
Sementara itu, mangsa dalam status Facebooknya berkata, dia mengalami kerugian disebabkan perbuatan suspek di mana beberapa dulang kuihnya terpaksa dibuang kerana telah dicemari serpihan kaca dari cermin pecah. Salah seorang adik mangsa juga terpaksa dibawa ke hospital kerana matanya dimasuki serpihan kaca.
Sumber: Sinar Harian, Info Roadblock JPJ/POLIS
from The Reporter https://ift.tt/3ezxdPf
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment