"Saya bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu pasar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan mereka rugi," kata Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Beliau berkata tindakannya 'memarahi' peniaga di Pasar Ramadan Peringgit, dalam satu video yang tular sejak petang semalam, supaya mereka patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Saya mengunjungi pasar Ramadan berkenaan kira-kira jam 6 petang untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung pasar berkenaan, yang minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di pasar Ramadan berkenaan sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Norhizam berkata beliau bagaimanapun tidak akur dengan kehendak segelintir peniaga terbabit kerana sedar jika dituruti, ia akan mengundang masalah yang lebih besar.
"Pasar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung, namun jika dibuka dua jalan masuk akan menyebabkan keadaan tersebut tidak dapat dipantau dengan rapi dan menyebabkan keadaan luar kawalan.
"Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan," katanya.
Katanya sebahagian besar peniaga lain serta pengunjung juga faham dengan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak COVID-19 yang masih berlaku ketika ini.
"Kerajaan negeri terpaksa mengetatkan SOP demi memastikan tiada kejadian tidak diingini khususnya penularan COVID-19 dan untuk melindungi kepentingan peniaga sendiri juga," katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3gdIas6
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment